Undian Piala Emas Raja-Raja 2018, Shah Alam Antlers Berada di Kumpulan B!

Pada 17 Ogos lalu, pihak pengurusan Shah Alam Antlers telah dijemput untuk ke Majlis Pelancaran, Pengundian & Sidang Media Piala Emas Raja-Raja 2018 di Wisma FAM, Kelana Jaya untuk mengikuti taklimat serta mencabut undi.

Dalam majlis itu yang dirasmikan oleh En. Mohd Firdaus Mohd, yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melayu (PBSMM) berkata format kejohanan juga telah diubah untuk memendekkan tempoh kejohanan serta menempatkan semua pasukan di wilayah yang sama sepanjang kejohanan.

Selain itu, peringkat kalah mati pula diubah dengan bermain hanya sepusingan saja berbanding edisi-edisi yang lalu yang dimainkan dengan pusingan timbal balik. Kejohanan semi pro yang berprestij tinggi ini sudah mencapai ke edisi ke-78 dengan edisi kali ini, buat pertama kalinya Selangor dan Kuala Lumpur dipilih sebagai wilayah pertandingan.

Sesi pengundian pula bermula dengan menempatkan empat pasukan yang berjaya ke peringkat separuh akhir edisi lalu iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor diletakkan dalam masing-masing kumpulan A, B,C dan D.

Shah Alam Antlers berdepan laluan yang agak sukar apabila ditempatkan bersama Kelantan yang kalah 1-2 kepada Pulau Pinang di Stadium Muhammad ke-IV pada perlawanan akhir musim lalu. Selain itu, dua pasukan dari selatan tanah air iaitu Johor & Melaka juga dijangka akan memberi saingan sengit bersama Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA).

Kumpulan maut bagi kejohanan Piala Emas Raja-raja kali ini sudah tentulah kumpulan A, yang terdiri daripada 4 pasukan daripada utara tanah air, iaitu juara edisi lalu iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak serta pasukan Negeri Sembilan.

Untuk perlawanan Piala Agong 2018, Pulau Pinang akan berdepan dengan pasukan Pahang, juara Piala Agong 2017 bagi pada awal September nanti yang telah disahkan akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Shah Alam Antlers yang kini dibimbing oleh Ariff Hashim sudah pasti akan mencari formula terbaik untuk menghadapi kejohanan Piala Emas Raja Raja edisi ke-78 dengan menghadapi saingan liga serta saingan Selangor Champions League sekaligus dalam usaha membawa kelab ke tahap yang jauh lebih tinggi.