Shah Alam Grassroots League 2018 Nobat Akademi Young Guns FC & GenPro FC Sebagai Juara

Kejoahanan yang julung-julung dianjurkan ini menarik minat 10 akademi dan 17 pasukan sekitar Shah Alam.

Liga akar umbi anjuran Shah Alam Antlers FC, Shah Alam Grassroots League (SAGL) yang julung-julung kali dianjurkan semalam menyaksikan Akademi Young Guns FC dan Akademi GenPro FC muncul juara peringkat umur masing-masing.

Akademi Young Guns FC yang berpengkalan di Kota Kemuning, Shah Alam muncul juara kategori bawah-12 selepas berjaya menewaskan Akademi Projek Darul Ehsan FC 1-0 dalam perlawanan akhir.

Pemain-pemain Akademi Young Guns FC bergambar dengan trofi yang mereka menangi selepas berjaya menewaskan Akademi Projek Darul Ehsan 1-0 dalam perlawanan akhir kategori bawah-12 SAGL 2018.

Manakala Akademi GenPro FC yang berpengkalan di Alam Megah, Shah Alam pula bergelar juara kategori bawah-10 selepas menewaskan Akademi PKNS FC 3-1.

Pemain-pemain Akademi GenPro FC bergambar dengan trofi yang mereka menangi selepas berjaya menewaskan Akademi PKNS FC 3-1 dalam perlawanan akhir kategori bawah-10 SAGL 2018.

Dua akademi ini akan layak ke kejohanan ulung Selangor Grassroots League 2018 anjuran Football Selangor yang bakal berlangsung pada 12 Mei 2018 nanti di Stadium Mini Shah Alam. Dalam kejohanan ini, mereka akan bertanding menentang juara-juara dari 11 liga akar umbi lain dari seluruh Selangor.

Edisi sulung SAGL 2018 yang dilangsungkan di Stadium JKR, Seksyen 17 pada hari Ahad, 29 April 2018 ini menarik minat 10 akademi dari seluruh Selangor. Antara pasukan yang mengambil bahagian adalah:

Kategori bawah-12
– Young Guns FC
– KB Berjaya Park
– ASC Academy
– Projek Darul Ehsan A
– PNSB FC
– Antlers Football School
– Projek Darul Ehsan B
– Akademi PKNS FC

Kategori bawah-10
– GenPro FC
– Antlers Football School
– PNSB FC
– Akademi PKNS FC
– KB Berjaya Park
– Projek Darul Ehsan
– ASC Academy
– Panda Soccer
– Lestari Junior

SAGL 2018 dianjurkan dengan tujuan untuk memberi platform pertandingan kompetitif buat pemain-pemain peringkat akar umbi sekitar Shah Alam. Peluang ini juga diambil oleh pemain-pemain akademi kita, Antlers Football School untuk menyertai pertandingan kompetitif pertama mereka sejak ditubuhkan pada September 2017.

Selain itu penganjuran SAGL 2018 ini juga dibuat untuk memenuhi salah satu syarat layak ke Selangor Champions League 2018 atas kapasiti sebagai kelab komuniti seperti yang ditetapkan oleh Football Selangor.

Presiden Shah Alam Antlers FC, Ahmad Suffian Mamat yang hadir semalam memberitahu SAGL akan dianjurkan pada setiap tahun sebagai sokongan kepada aspirasi DYTM Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor. Baginda mempunyai visi untuk melihat Selangor mempunyai kejohanan bola sepak peringkat akar umbi di seluruh negeri.

“Pada tahun ini, kami mungkin menganjurkan SAGL untuk memenuhi syarat layak ke Selangor Champions League 2018 anjuran Football Selangor. Tetapi kami akan tetap menganjurkan SAGL pada tahun-tahun akan datang sebagai salah satu cara kelab untuk mendekatkan diri dengan komuniti,” kata Suffian (gambar bawah).

Presiden Shah Alam Antlers FC, Ahmad Suffian berucap ketika majlis penutup SAGL 2018.

Ketua jurulatih Shah Alam Antlers FC, Ariff Hashim yang turut hadir semalam menyatakan kepentingan SAGL kepada kelangsungan pasukan senior. “Daripada SAGL, kita mahu kenalpasti dan mengikuti perkembangan pemain-pemain berbakat yang kita boleh serap masuk ke skuad senior pada satu hari nanti,” beritahunya.

SAGL 2018 semalam dijayakan dengan kerjasama Kelab Penyokong Shah Alam Antlers dan Football Selangor.

Wakil Football Selangor yang hadir semalam, Izrin Nabil melahirkan rasa gembiranya apabila melihat komuniti Shah Alam saling berganding bahu untuk menjayakan SAGL 2018. “Inilah matlamat kami di Football Selangor. Kami ingin membuktikan dengan kerjasama komuniti, mana-mana kelab bola sepak pun boleh menganjurkan kejohanan-kejohanan peringakt akar umbi sebaik SAGL.”