Shah Alam Antlers Sedia Ganggu Kedudukan Level Up Dalam Liga!

Shah Alam Antlers akan turun menghadapi Level Up FC malam esok (16 Oktober) dalam perlawanan minggu keempat AXA KVL M5. Level Up yang kini menghuni tempat pertama Kumpulan B, dua tangga di atas Shah Alam Antlers sudah pasti akan memberi cabaran yang sengit kepada skuad muda Shah Alam Antlers.

Shah Alam Antlers sekali lagi mengharapkan Sherif Shekoo dan Faris Syazwan meneruskan sentuhan jaringan dimana kedua-dua pemain itu sudah pun menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir. Ketua jurulatih Shah Alam Antlers, Ariff Hashim juga mempunyai pilihan lain kali ini dimana penjaring terbanyak Shah Alam Antlers, Salihan Jamil kembali pulih dari kecederaan setelah direhatkan pada perlawanan minggu lepas.

Ariff Hashim juga mempunyai beberapa pilihan di bahagian tengah dimana Muhammad Rusydi dan Syed Aizat telah menunjukkan permainan yang konsisten ketika dibawa masuk dalam dua perlawanan yang lepas bagi memberi tekanan kepada Iylia Fitri, Mohd Hafizuddin dan Solomon Opke bagi mengisi slot kesebelasan utama.

Tidak kurang juga pilihan di bahagian pertahanan dimana penjaga gol utama, Muhammad Affendy sudah pasti kembali menjadi benteng terakhir Shah Alam Antlers selepas terlepas peluang beraksi minggu lepas akibat kecederaan. Ariff Hashim juga mempunyai pilihan di bahagian pertahanan kiri dan kanan apabila Suzaimy Azreen yang mampu beraksi di kedua-dua posisi tersebut turut kembali pulih dari kecederaan.

Jika Shah Alam memenangi perlawanan ini, peluang untuk menduduki tempat kedua semakin cerah dengan syarat wajib memenangi baki perlawanan seterusnya dengan mengharapkan CNA dan Level Up akan kehilangan beberapa mata.

#AllUniteForTheCity

#MyCityMyPride