Shah Alam Antlers Sah Sertai AXA Klang Valley League M5!

Sejarah tercipta dalam arena bola sepak negara apabila penganjur liga bola sepak sosial terbesar di Malaysia, Klang Valley League (KVL) secara rasminya akan menganjurkan Liga M5, liga divisyen ke-5 bola sepak negara yang dikenali sebagai AXA KVL M5 yang mana turut disertai Shah Alam Antlers.

Mula dianjurkan pada Mei 2014 dan bermula dengan penglibatan 8 buah pasukan, KVL kini aktif menganjurkan 8 divisyen liga yang melibatkan lebih 130 pasukan dan lebih 3,000 pemain peringkat amatur dan sosial di sekitar Lembah Klang.

Pengasasnya, En. Khairil Anuar menyifatkan kewujudan liga-liga divisyen ke-5 seperti AXA KVL M5 dalam piramid bola sepak Malaysia merupakan satu perkembangan baik. Ini kerana pasukan-pasukan amatur diberi peluang untuk beraksi dalam satu ekosistem bola sepak yang tersusun dan sistematik bersama pasukan-pasukan profesional lain.

Penganjuran AXA KVL M5 turut mendapat sokongan dan tajaan daripada salah sebuah syarikat insurans terbesar di dunia, AXA AFFIN Life Insurance dan syarikat bersekutunya, 139associates.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AXA AFFIN Life Insurance Berhad, En. Rohit Nambiar, misi AXA secara keseluruhannya adalah untuk memperkasakan orang ramai untuk kehidupan yang lebih baik.

16 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam AXA KVL M5. Antara pasukan yang terlibat adalah pasukan komuniti terkenal seperti Shah Alam Antlers FC, Gombak FC serta juara dan naib juara Selangor Champions League 2017, Axis O2 FC dan PIB FC.

Undian juga menyaksikan Shah Alam Antlers diletakkan dalam satu kumpulan dengan kelab komuniti yang dilihat pencabar besar iaitu Gombak FC, serta Ampang United dalam kumpulan B. Juara bertahan SCL 2017, Axis-02 pula diletakkan dalam kumpulan A bersama Ultimate FC, Rose FC, PIB dan beberapa pasukan lain.

Kesemua perlawanan AXA KVL M5 akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya bermula 17 September 2018. Perlawanan pertama Shah Alam Antlers pula akan bermula pada 19 September 2018 menentang KL Gators pada jam 9.00 malam.

Sumber: Semuanya BOLA (Liga M5 KVL Umum Penajaan Dari AXA Affin!)

Diolah oleh: Media Shah Alam Antlers