Shah Alam Antlers Kongsi Pengalaman Pengurusan Sukan Bersama Pelajar UniKL BMI

Pada hari Rabu, 7 Mac 2018 yang lepas, barisan pengurusan Shah Alam Antlers telah dijemput untuk berkongsi pengalaman menguruskan pasukan bola sepak komuniti bersama pelajar-pelajar Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI).

Pelajar-pelajar yang terlibat dalam sesi perkongsian ini turut mengajukan beberapa soalan mengenai senario semasa bola sepak di Malaysia kepada 5 orang wakil kelab yang hadir – Presiden; Ahmad Suffian Mamat, Setiausaha; Redza Khalid, Exco; Ahmad Muzammil, Exco Penyokong; Sofwan Zolkefli dan seorang wakil pemain kita.

Sesi perkongsian tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar & Gaya Hidup Kampus UniKL BMI, En. Azrul Hisyam dan penyelia program Pengurusan Sukan mereka.

Antara perkara yang dibincangkan dalam sesi perkongsian tersebut adalah latar belakang Shah Alam Antlers, sejarah, pencapaian dan visi kelab. Turut menarik perhatian pelajar UniKL BMI adalah topik pemasaran dalam bola sepak dan senario bola sepak amatur dalam piramid bola sepak Malaysia.

Selepas sesi perkongsian tersebut, En. Azrul yang mewakili UniKL BMI merakam penghargaan kepada kelab melalui upacara pemberian cenderahati kepada semua wakil kelab dan sesi bergambar.

Timbalan Dekan UniKL BMI, En. Azrul menyerahkan cenderahati kepada Presiden kelab, Ahmad Suffian Mamat.
Pelajar-pelajar UniKL BMI bergambar dengan wakil Shah Alam Antlers selepas sesi perkongsian pada 7 Mac 2018 lepas.

Pihak kelab juga tidak melepaskan kesempatan untuk meluaskan jaringan penyokong dalam kalangan pelajar UniKL BMI dengan memberi cenderahati dan jersi pasukan.

Presiden kelab, Ahmad Suffian Mamat menyerahkan jersi pasukan kepada Timbalan Dekan UniKL BMI, En. Azrul selepas sesi perkongsian pada 7 Mac 2018 lepas.