CABJ langsung tiada jawapan untuk menghalang kemenangan ke-4 berturut-turut Shah Alam Antlers selepas tumbang 1-5 di Antlersland petang semalam.

5 gol Shah Alam Antlers dijaringkan oleh Mohamad Naim (12′), gol sendiri CABJ (14′), Sathiskumar (23′), Ahmad Shahidan (28′) dan Shahid Akhbar (70′).

Gol tunggal CABJ pula dijaringkan oleh penyerang kelahiran Palestin mereka.

Separuh pertama dominan bagi Antlers

Cuti Tahun Baru Cina mungkin menghadirkan sedikit rasa bimbang buat penyokong Shah Alam Antlers yang risau persembahan pasukan akan menurun sedikit selepas seminggu tanpa perlawanan kompetitif.

Tetapi pemain-pemain kita membuktikan sebaliknya.

Meskipun kelihatan agak goyah pada 5 minit pertama, kita mendominasi baki 20 minit aksi separuh masa pertama. Barisan serangan berwajah baru yang diketuai Nurnasreen ‘Jeren’ dan dibantu oleh Firdaus ‘Paneer’ dan Ku Mohd Nazran ‘Kecik’ (gambar bawah) sibuk mengkucar-kacirkan pertahanan CABJ.

Kelincahan Kecik di sayap kiri nyata menyukarkan bek kanan CABJ sehingga beliau beberapa kali terpaksa menjatuhkan Kecik di luar kotak penalti.

Pengadil menghadiahkan sepakan percuma untuk kedua-dua kesalahan CABJ tersebut. Sepakan pertama diambil oleh Ahmad Shahidan ‘Adam’. Bagaimanapun sepakannya meliar melepasi palang.

Dalam sepakan percuma kedua, Mohamad Naim pula tampil mengambil sepakan. Kali ini, sepakan Naim tepat menuju ke sasaran – bucu sebelah kiri gol – untuk menewaskan penjaga gol.

2 minit kemudian, giliran bek kiri lawan pula untuk dikucar-kacirkan. Kombinasi permainan yang cantik antara Paneer dan bek kanannya, Aiman Sirajuddin, membolehkan Aiman membuat hantaran lintang dari kanan yang ditampan masuk oleh pertahanan tengah CABJ sendiri.

2 gol pantas itu bagaimanapun menghadirkan perasaan cuai di kalangan pertahanan kita.

Seminit selepas gol ke-2 Shah Alam Antlers, giliran CABJ pula menjaringkan gol melalui rembatan jarak dekat penyerang mereka.

Gol CABJ itu seakan menyedarkan pemain kita untuk bangkit. Selepas itu, kita menyerang CABJ bertubi-tubi melalui percubaan Paneer, Adam, Jeren dan Aiman.

Akhirnya tekanan berterusan Antlers membuahkan hasil. 2 minit sebelum separuh masa pertama tamat, sepakan sudut Adam di sebelah kiri ditampan oleh Sathiskumar untuk gol ke-3.

Penyerang sayap bertukar

Pada separuh masa kedua, ketua jurulatih Shah Alam Antlers, G. Muthu mengeluarkan Kecik dan Paneer. Tempat mereka digantikan oleh Raffi ‘Fifi’ dan Kumaran.

Jika G. Muthu membuat pertukaran ini untuk bereksperimen, penyokong boleh merumuskan eksperimen ini membuahkan hasil.

Pada minit 28′, hantaran lintang sebelah kanan dari Kumaran menemui larian Adam. Tanpa dijemput, Adam melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti untuk gol ke-4 Antlers.

Pada minit 43′, G. Muthu mengeluarkan Jeren dan memasukkan Shahid Akhbar. Ini adalah penampilan terakhir Shahid sebelum beliau bertolak ke Singapura (bersama bek kiri Azri Baharum) atas urusan kerja.

Gol perpisahan Shahid

Barangkali panas dan selesa mendahului dengan margin 3 gol, tempo perlawanan berlangsung dengan perlahan pada separuh masa ketiga.

CABJ yang turun dengan pemain simpanan yang tak mencukupi pula tiada selera langsung untuk menyerang.

Dua faktor inilah yang menyukarkan Antlers untuk menambah jaringan.

Bagaimanapun ia masih tak menghalang Shahid Akhbar untuk menjaringkan gol ke-3 beliau dalam 3 perlawanan. Bermula dari sepakan sudut Adam, Shahid menewaskan cabaran daripada pemain lawan untuk menanduk masuk gol ke-5 Antlers.

Pemain terbaik perlawanan: Ahmad Shahidan