Shah Alam Antlers 4-0 Dataran FC: Laporan Perlawanan KVL

Dataran FC cuba memberikan saingan sengit kepada Shah Alam Antlers dalam saingan Klang Valley Super League petang Sabtu semalam.

Bagaimanapun hari semalam telah ditakdirkan menjadi hari Shah Alam Antlers berpesta apabila menang mudah 4-0.

4 gol Antlers dijaringkan oleh Mohamad Raffi (22′, 28′), Azri Baharom (40′) dan Shahid Akhbar (44′).

Sejak dari minit pertama, Shah Alam Antlers jelas menguasai perlawanan. Bagaimanapun kita bergelut untuk mencipta peluang serangan akibat kurang kesefahaman antara pemain.

Taktikal Dataran FC yang memilih untuk meletakkan 9 pemain di belakang bola menyukarkan lagi usaha Antlers.

Bagaimanapun apabila Mohamad Raffi berjaya memecah perangkap ofsaid Dataran untuk menjaringkan gol pertama, Antlers tidak menoleh belakang lagi. Tamat separuh masa kedua, kedudukan sudah pun berubah menjadi 4-0.

Antlers sedikit leka apabila masuk separuh masa ketiga. Tetapi jurang gol yang terlalu besar – ditambah dengan faktor keletihan dan kehilangan fokus – menyukarkan usaha Dataran FC untuk mengejar Antlers.

Antlers bergelut separuh masa pertama

Turun dengan misi meneruskan momentum kemenangan, Antlers turun tanpa 2 pemain utama: Mohamad Naim (tengah) dan Firdaus Selvam (penyerang).

Tempat mereka digantikan oleh Muhammad Hakimi (tengah) dan Shahid Akhbar (penyerang, gambar bawah). Dan ia mungkin punca utama mengapa kita seperti kehilangan team chemistry yang sebelum ini membolehkan kita menyerang dengan lancar.

Jentera tengah kita bergelut untuk mencengkam dominasi di tengah padang.

Gandingan serangan P. Arjunan-Shahid pula tercari-cari kesefahaman yang hanya biasanya diperolehi setelah selalu bermain bersama.

Peluang ini digunakan sebaiknya oleh Dataran FC untuk melancarkan beberapa serangan ke kubu kita. Tetapi penjaga gol, Khairil Ikhwan masih selesa menyelamatkan 2 percubaan tepat mereka.

Ketika penyokong Antlers mula mengharapkan separuh masa kedua yang lebih baik, pemain sayap kiri kita, Mohamad Raffi berjaya menjaringkan gol pendahuluan.

Antlers garang di separuh masa kedua

Bergelut mendominasi tengah, G. Muthu memasukkan Amres Singh untuk menggantikan Hakimi di separuh masa kedua. Hasilnya pantas kelihatan.

Jentera tengah segera lancar. Tempo serangan diperlajukan. Kekurangan tekanan dan garisan defensif Dataran FC yang tinggi segera dihukum Antlers.

Berpunca daripada satu sepakan percuma, Raffi memberi kejutan kepada penjaga gol Dataran FC dengan mengambilnya secara pantas.

Baru 3 minit separuh masa kedua berlangsung, Antlers sudah mendahului 2-0. Dan kedua-duanya melalui kualiti teknikal Raffi.

12 minit kemudian, penjaga gol Dataran FC sekali lagi ‘menembak kakinya sendiri’. Berpunca dari balingan dalam bek kiri Antlers, Azri Baharom, penjaga gol Dataran FC melepaskan bola hingga masuk ke gawangnya sendiri.

Shah Alam Antlers 3. Dataran FC 0.

4 minit kemudian, sayap kiri Antlers menguburkan segala sisa harapan Dataran FC untuk bangkit apabila menambah gol ke-4 yang disudahkan oleh Shahid.

1 gol dalam penampilan sulung. Shahid segera menjadi pujaan penyokong Shah Alam Antlers.

Antlers kembali bergelut

Barangkali selesa mendahului 4-0, Antlers kelihatan leka dan cuai dalam penguasaan bola.

Ditambah pula dengan perangkap ofsaid yang dipasang Dataran FC, penyerang Antlers bergelut untuk memecahkannya dan kerap dihukum ofsaid oleh penjaga garisan.

Tamat perlawanan, jumlah jaringan tidak berubah. Shah Alam Antlers dijadualkan akan bertemu SLBJ (Subang Local Boys der’ Jaeger) pada 14 Januari 2016 ini.

Pemain terbaik perlawanan: Mohamad Raffi