Shah Alam Antlers 1-0 AUFC: Klang Valley Super League

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang import tuan rumah, Kosoko 'Jeff' Olusegub pada minit ke-10. Ini juga merupakan gol debut beliau.

AUFC hampir-hampir mencemaskan Shah Alam Antlers di Antlersland petang semalam selepas berjaya menghalang tuan rumah bermain seperti biasa. Bagaimanapun ia masih belum cukup untuk menghalang Shah Alam Antlers menang tipis 1-0.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang import tuan rumah, Kosoko ‘Jeff’ Olusegub pada minit ke-10. Ini juga penampilan pertama Jeff untuk kelab, bersama pertahanan tengah Obi Vincent Iyke.

Debut goal untuk Jeff

Pemergian penyerang Shahid Akhbar dan bek kiri Azri Baharom ke Singapura atas urusan kerja bermakna ketua jurulatih Shah Alam Antlers, G. Muthu terpaksa mencari pemain baru.

Dengan memanfaatkan jendela perpindahan liga yang dibuka pada minggu ke-7, G. Muthu memasukkan 2 pemain baru dari Nigeria – Kosoko ‘Jeff’ Olusegub dan Obi Vincent Iyke.

Jeff ditugaskan untuk mengepalai jentera serangan Antlers. Manakala Vincent berpasangan dengan Sathiskumar di pertahanan tengah. Nicholas Chan pula ditolak ke posisi bek kiri.

Bermula dengan baik, Shah Alam Antlers lebih cepat menyesuaikan diri.

Dalam masa 10 minit pertama, pemain sayap Ku Mohd Nazran atau Kecik (gambar bawah) sudah 2 kali menguji pertahanan AUFC melalui larian direct dan skil gelecekannya.

Gambar oleh Kamarul Akhir / www.asiana.my

Hasilnya pada minit 10′, Kecik berjaya menewaskan bek kiri AUFC untuk menghantar hantaran lintang rendah dari sayap kanan yang disudahkan dengan baik oleh Jeff.

Dengan gol debut ini, ia satu permulaan yang baik buat Jeff di Shah Alam Antlers.

AUFC ubah taktikal pada separuh masa kedua

Tak mahu mengalah, AUFC bangkit pada separuh masa kedua.

Mereka mula meningkatkan tekanan kepada jentera tengah Antlers – terutamanya kepada Mohamad Naim – hingga menyebabkan Antlers mula hilang dominasi di tengah.

Bek kiri dan kanan mereka juga sudah mula kerap naik membantu serangan. Manakala gerakan licik pemain AUFC berjersi 10 memberikan Vincent (dua dari kanan) debut yang sukar.

Gambar oleh Kamarul Akhir / www.asiana.my

Di bahgaian serangan, Jeff mula semakin tenggelam. G. Muthu cuba menukar situasi ini dengan menggantikan Jeff dengan Nunasreen ‘Jeren’. Tetapi Jeren juga kurang memberikan impak yang dimahukan.

Bagaimanapun disebalik perubahan taktikal AUFC, tidak banyak peluang yang mereka cipta di depan gol.

AUFC tingkatkan intensiti

Menyedari Antlers mula goyah, AUFC meningkatkan lagi tekanan dan pressing ke jentera pertahanan dan tengah Antlers. Malah pertahanan mereka juga sudah mula bermain dengan garisan defensif yang tinggi.

Jika pada separuh masa kedua tadi Antlers yang bermain di bawah prestasi sebenar, separuh masa ketiga jauh lebih buruk bagi pasukan tuan rumah.

AUFC pula beberapa kali menguji penjaga gol Antlers, Khairil Ikhwan (gambar bawah). Tetapi penjaga gol yang menetap di Kuala Selangor ini cekap mengawal gawangnya.

Gambar oleh Kamarul Akhir / www.asiana.my

Sebaik wisel penamat dibunyikan, penyokong dan pemain Shah Alam Antlers menarik nafas lega. Meskipun menang, persembahan menentang AUFC ini pastinya memberikan mereka peringatan bahawa banyak lagi yang perlu diperbaiki jika mahu terus menerajui liga.

Pemain terbaik perlawanan: Ku Mohd Nazran

Statistik perlawanan