Setahun Berlalu…. Perasmian Kelab Bolasepak Shah Alam Antlers!

Pada hari ini, tepat setahun lalu, sebuah idea yang telah lama diimpikan menjadi realiti. Sebuah mimpi kini menjadi misi. 17 Disember 2016, sebuah era baharu bola sepak komuniti bermula, khususnya di bandar Shah Alam.

Pada hari yang bersejarah itu, Shah Alam Antlers tampil dalam aksi sulong mereka sebagai sebuah kelab bola sepak. Di bawah sinaran matahari yang terik, sebuah sesi perkenalan barisan pemain kepada penyokong-penyokong telah diadakan sebelum sepak mula perlawanan. Selesai sahaja sesi memperkenalkan pemain, para pemain bersiap untuk melangkah ke atas padang, memulakan satu era baharu bola sepak komuniti di Malaysia. Shah Alam Antlers yang bertanding dalam saingan Klang Valley League turun menentang Ingress Tigers FC di mana keputusan perlawanan tersebut berakhir dengan kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata apabila terikat 1-1. Mohd Fairuz mencatatkan namanya dalam sejarah kelab apabila menjadi pemain yang menjaringkan gol rasmi pertama untuk Shah Alam Antlers.

Sebelum bermulanya sesi perkenalan pemain dan perlawanan ‘debut’ Shah Alam Antlers, sebuah sesi sidang media diadakan di mana barisan pengurusan kelab menceritakan serba sedikit kepada media mengenai kelab secara am serta misi dan visi kelab untuk jangka masa panjang. Sidang media ini mendapat liputan daripada media seperti akhbar Sinar dan beberapa unit media tempatan lain. Dalam masa yang sama, Shah Alam Antlers turut melancarkan jersi ‘home’ dan ‘away’ pertama dalam sejarah kelab yang ditaja oleh ExtraVaganza. Shah Alam Antlers juga mengambil langkah yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan Liga Malaysia yang dikatakan professional pernah lakukan dengan mengeluarkan ‘matchday programme’ edisi pertama atau Vol.1.

Bertitik tolak dari apa yang dimulakan pada hari tersebut, Shah Alam Antlers FC dan bola sepak komuniti secara keseluruhan berkembang dengan cukup pantas bagai cendawan tumbuh selepas hujan sepanjang 2017. Kelab-kelab komuniti yang sedia ada diberi nafas baharu dan bertambah semangat untuk bersaing dan banyak kelab-kelab baharu ditubuhkan. Klimaksnya, pada awal Disember 2017, FAM dan FMLLP mengumumkan Liga Divisyen 4 dan Divisyen 5 dalam sistem piramid bola sepak Malaysia di mana 12 liga social / komuniti diterima oleh FMLLP dan FAM untuk membentuk Liga M5 dan juara Selangor Champions League mendapat tempat di Piala FA. Ini secara langsungnya membuka ruang kepada kelab-kelab komuniti untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Setahun telah berlalu dan banyak kenangan manis yang dilalui oleh Shah Alam Antlers sepanjang tahun pertama kewujudan kelab. Semoga pada masa akan datang, lebih banyak kejayaan yang bakal diraih oleh kelab dan pada satu masa nanti, kelab dapat bersaing di peringkat tertinggi. Terima kasih yang tak terhingga kepada yang telah bersama kelab. Khususnya para penyokong yang telah mendaftar menjadi ahli kelab. Semoga kita semua bakal menjadi antara yang terpahat dalam sejarah revolusi bola sepak Malaysia.

 

#BiancoAzzuroPerSempre

#AllUniteForTheCity