Previu SCL2017: Kemenangan Mampu Hidupkan Peluang Shah Alam Antlers Ke Suku Akhir!

Shah Alam Antlers mempunyai satu peluang terakhir untuk setidak-tidaknya menghuni tangga ke-4 dalam carta kumpulan B dengan mengutip tiga mata penuh menentang Hartamas Rebel dalam perlawanan minggu ke-7 mereka dalam Selangor Champions League.

Setelah enam perlawanan, Shah Alam Antlers hanya mampu meraih 8 mata hasil dua kemenangan ke atas SA United dan juga TTDI Terrapins. Mereka juga terpaksa menerima dua keputusan seri dan juga dua kekalahan.

Berbeza dengan Hartamas Rebel, mereka baru sahaja selesai empat perlawanan dengan memenangi 9 mata daripada 12 mata maksimum. Kekalahan pertama mereka ketika menentang SA United dibalas dengan tiga kemenangan berturut-turut keatas Shah Alam PIB FC, Gombak Klasiko FC dan juga Empayar Bangi FC.

Shah Alam Antlers terus mempertaruhkan Chukwu Chijioke yang telah pun menjaringkan 5 gol setakat ini di depan gawang yang mana beliau akan menjadi sayap kanan untuk Muhammad Ridhwan yang baru membuat kepulangan semula. Firdaus Selvam pula akan mengisi sayap kiri untuk pasukan Shah Alam Antlers.

Di bahagian tengah, dikhabarkan beberapa pemain Shah Alam Antlers masih belum benar-benar cergas untuk bermain dengan harapan besar untuk melihat kepulangan semula Nazran yang baru pulih dari kecederaan. Khidmat Marzuqi dan juga Naim juga ditagih untuk mengemudi bahagian tengah yang pincang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Coach Muthu pula pasti menagih khidmat Kumaran, Aiman serta gandingan Vincent & Nicholas untuk mengekang pemain penyerang Hartamas Rebel, Medina yang sedang mengejar untuk turut menjadi penjaring terbanyak dalam kumpulan B.

Faye Jacque sudah tentu akan menjadi focal point bagi pasukan Hartamas Rebel yang sedang mencari satu lagi kemenangan yang mana boleh turut menutup peluang Antlers untuk ke peringkat separuh akhir.

Adakah Antlers boleh mengutip tiga mata penuh dalam usaha untuk membuka peluang bagi menempatkan diri dalam empat pasukan yang bakal melangkah ke suku akhir? Ataupun adakah Rebel akan membunuh peluang Antlers untuk ke peringkat suku akhir?

Ayuh saksikan perlawanan antara Shah Alam Antlers menentang Hartamas Rebel di Stadium Panasonic, Seksyen 21, Shah Alam pada 1 November ini yang akan sepak mula pada jam 8.15 malam nanti!

#BiancoAzzuroPerSempre

#AllUniteForTheCity