Mengenali Shazri Sobri, Pengurus Baru Shah Alam Antlers!

Menjadi lumrah kehidupan untuk orang datang dan pergi dalam kehidupan kita. Kekosongan jawatan pengurus pasukan yang telah ditinggalkan oleh mantan pengurus, En. Ahmad Yani Ismail kini telah diisi oleh En. Shazri Bin Dato’ Sobri. Mengetahui dirinya yang mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan kelab bola sepak, anak Shah Alam dari Seksyen 2 ini tampil untuk menggalas tugas sebagai pengurus pasukan baharu Shah Alam Antlers. Unit media sempat berjumpa dengan En. Shazri untuk menemu ramah beliau menjelang penampilan pertama beliau bersama kelab.

Q : Umum mengetahui tuan merupakan anak jati Shah Alam, jadi apakah kepentingan penubuhan Shah Alam Antlers kepada penduduk Shah Alam sendiri?

Shazri : Penubuhan Shah Alam Antlers sangatlah penting kerana Ia adalah benchmark buat pemain bola sepak, terutamanya di Shah Alam menunjukkan kemampuan dan mengasah bakat – bakat baharu dan lama dalam bola sepak. Tambahan lagi, dengan adanya kelab Shah Alam Antlers, penduduk Shah Alam sendiri dapat menghampiri dan mempelajari daripada Shah Alam Antlers Football School, sebuah inisiatif yang diambil oleh kelab yang memberi latihan yang boleh mengasah pemain dengan baik dari semasa ke semasa di semua peringkat umur.

Q : Apakah tuan serta pihak pengurusan Shah Alam Antlers sudah menetapkan target bagi saingan KV League tahun 2018?

Shazri : Ya, sudah. Namun begitu kami tidak berkongsi dengan sepenuhnya buat masa ini. Tapi apa yang penting ialah kami perlu fokus pada tugas yang besar iaitu mempertahankan kejuaraan yang dicapai musim lalu.

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Q : 18 Disember adalah hari pertama pemain-pemain Shah Alam Antlers akan memulakan latihan, apakah yang tuan jangka bagi latihan yang pertama ini?

Shazri : 18 Disember juga akan jadi tarikh pertama saya akan turut serta melihat barisan pemain berlatih. Jadi untuk itu saya ingin mengenali dengan lebih mendalam konsep training and semangat sepasukan pada tarikh tersebut kerana semangat kebersamaan sangat penting buat suatu pasukan dan dari situ semua akan tahu hala tuju kita sebagai sebuah pasukan.

Q :  Kenapa memilih Shah Alam Antlers, kerana kedengaran tuan mendapat tawaran dari kelab Liga Perdana yang jauh lebih menarik?

Shazri : Soalan yg cukup menarik. Saya telah ke beberapa tempat di luar kawasan Shah Alam, berkongsi sepenuh hati minat yang mendalam ini iaitu bola sepak. Tentu sekali sudah lama mengidam tawaran di halaman sendiri. Akhirnya Shah Alam Antlers menawarkan saya jawatan ini dan dengan besar hati saya terima cabaran ini. Kembalinya saya ke Shah Alam.

Q : Apa ertinya bagi tuan menjadi sebahagian dari keluarga Shah Alam Antlers?

Shazri : Selama  menjaga beberapa pasukan, saya selalu terapkan nilai kekeluargaan dalam pasukan kerana ia amat penting dalam satu komuniti. Jadi apabila datang ke keluarga Shah Alam Antlers, saya tahu diri saya siapa dan di mana saya berdiri dan akan berikan segalanya sebaik mungkin.

Q : Apakah cabaran tuan dalam memenuhi jangkaan tinggi peminat yang umum tahu mempunyai sekumpulan penyokong yang amat fanatik?

Shazri : Cabaran pasti ada di mana – mana, tetapi minat  terhadap bola Sepak tidak akan menghalang sesiapa daripada terus belajar dan berjaya. Jadi saya perlu lebih mendengar suara peminat kerana mereka adalah yang memberi jiwa semangat kepada team dan mereka juga sebahagian daripada keluarga Shah Alam Antlers.

Q : Majoriti peminat Shah Alam Antlers tidak mahukan pemain import dalam pasukan Shah Alam Antlers, apa pandangan tuan terhadap permintaan peminat ini?

Shazri : Saya rasa permintaan mereka wajar kerana mereka inginkan player tanah air untuk lebih maju kehadapan. Namun begitu, atas dasar strategi dan keperluan, kita memerlukan khidmat pemain import.

Q :  Soalan terakhir, FAM telah umumkan perancangan untuk mewujudkan Liga M4 & Liga M5, apakah pandangan tuan mengenai perancangan FAM ini?

Shazri :  Perancangan FAM ini sangat bagus. Salah satu sebab yang membuatkan saya setuju adalah kerana para pemain perlu main dengan satu kelab sahaja atas dasar professionalism, maka fokus mereka akan tertumpu 100% terhadap kelab.

 

Sekian sahaja temu ramah bersama pengurus pasukan baharu, En. Shazri Bin Dato’ Sobri. Kami mengucapkan semoga berjaya dan berharap En. Shazri mampu membimbing Shah Alam Antlers mencapai lebih banyak kejuaraan dan melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.