Mengapa Shah Alam Antlers Rombak Skuad Dan Ambil Banyak Pemain Muda?

Pemain datang dan berlalu pergi saban musim. Tetapi mengapa Shah Alam Antlers dipenuhi dengan pemain-pemain baru pada musim 2018 kali ini?

Bukan mudah untuk membuat keputusan ini. Selepas semusim mengharungi musim cemerlang di kempen sulung Klang Valley Super League 2017 dan Selangor Champions League 2017, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk merombak skuad menjelang musim baru nanti.

Tiada lagi kelibat pemain-pemain hebat seperti Aiman Sirajuddin, Firdaus ‘Paneer’ Selvam, Mohamad Naim, Kumaran Vijayan, Nicholas Chan, Amares Singh dan Ku Muhammad Nazran.

Datang menggantikan mereka adalah pemain-pemain muda. Mereka mungkin kekurangan pengalaman berbanding pemain-pemain musim lepas. Tetapi kekurangan itu ditampung oleh komitmen tinggi yang diberikan mereka dalam setiap sesi latihan.

Menurut ketua jurulatih baru Shah Alam Antlers, Ariff Hashim, “Kita memang buka peluang kepada pemain-pemain lama untuk kekal bersama pasukan. Tetapi kebanyakan mereka mempunyai komitmen kerja. Jadi mereka tidak boleh ikut jadual latihan kita.”

“Pemain-pemain yang kita ada pula memang mempunyai kelonggaran jadual dan komited untuk turun ke latihan. Jadi senang kerja saya untuk melatih mereka,” kata Ariff.

Ketua jurulatih Shah Alam Antlers, Ariff Hashim (dua dari kanan) gembira dengan komitmen yang diberikan pemain-pemain musim ini.

Seperti musim lepas, pasukan kita masih lagi berlatih sebanyak 3 kali seminggu. Tetapi berbeza dengan latihan musim lepas yang bermula pada pukul 6 petang, musim ini kita memulakan latihan pada pukul 5 petang.

“Kebanyakan pemain musim lepas balik kerja pada pukul 5 petang. Jadi mereka tidak dapat memberi komitmen latihan yang kita tuntut dari setiap pemain,” jelas Ariff lagi.

Dengan hampir 90% pemain baru Shah Alam Antlers sekarang berusia bawah 23 tahun dan masih belajar, kebanyakan mereka tidak mempunyai masalah untuk menyertai latihan pada pukul 5 petang.