Laporan Perlawanan SCL2017: Shah Alam Antlers 2-1 SA United

DRAMA, itulah satu perkataan yang boleh menggambarkan mengenai perlawanan derbi Shah Alam yang berlangsung di Stadium Panasonic Shah Alam, malam tadi. Shah Alam Antlers berjaya menggenggam tiga mata penuh dalam usaha menempatkan diri dalam kelompok empat teratas walaupun ketinggalan pada babak pertama.

Separuh masa pertama bermula dengan gugup buat Antlers dengan pertahanan Shah Alam Antlers melepaskan gol pertama ketika belum pun perlawanan berusia 15 minit hasil jaringan Hakim Aziz. Keadaan ini menyebabkan permainan taktikal Shah Alam Antlers sedikit terganggu dengan bahagian tengah & sayap kelihatan buntu dalam cuba mencipta gerakan yang menarik buat pemain serangan Antlers buat Chijioke.

Beberapa hantaran lintang dari Paneer juga tidak sampai ke kaki mahupun kepala Chijioke yang ditugaskan untuk merobek gawang SA United manakala SA United pula selepas menjaringkan gol pertama, mereka kurang menyerang dan cuba melambat-lambatkan permainan.

Syamil, penjaga gol Shah Alam Antlers juga berjaya mengawal pertahanan beliau dan juga melakukan banyak aksi menyelamat yang mana boleh membunuh terus perlawanan tetapi kecekapan beliau menafikan rembatan-rembatan penyerang SA United.

Separuh masa kedua pula, Shah Alam Antlers bermula garang dengan memperkemaskan bahagian tengah dengan melakukan beberapa pertukaran dan perubahan taktikal coach  Muthu. Ini memberikan ruang buat Nazran bebas menggunakan kreativiti beliau untuk membebaskan pemain sayap Shah Alam Antlers, membolehkan Paneer mempunyai lebih banyak ruang untuk membuat hantaran yang lebih berkualiti kepada Chijioke.

Sepuluh minit terakhir adalah soal maruah buat Antlers, namun disebalik tekanan itu, hasil semangat berpasukan yang tinggi, pada minit ke-64, melalui kapten mereka, Yakish, mereka berjaya menyamakan kedudukan.

Akhirnya, ditambah dengan sedikit keazaman, hasil satu hantaran yang menarik, Chijioke menghulurkan kaki beliau dan gol itu memberikan kemenangan ketika masa kecederaan. Jeritan gol bergema lagi! SHAH ALAM ANTLERS 2-1 SA UNITED!

Maruah dijulang, derbi pun menang, hati pun senang, tiga mata dibawa pulang. Tiada lagi kata dapat diucapkan ketika lidah terkelu, suara serak serak pun hilang ketika gol kemenangan Shah Alam Antlers dimasukkan ke dalam gawang.

Ketika sedang ketinggalan, penyokong Shah Alam Antlers tetap setia membangkitkan semangat pemain Shah Alam Antlers untuk tidak mengalah dan berjuang demi ‘BIRU-PUTIH’. Itulah hidup mati seorang penyokong yang ketika pemain berjuang di atas padang, mereka juga sedang berjuang di luar padang.

Nota Penulis: Kami komuniti penyokong Shah Alam Antlers berbesar hati dengan kehadiran Raja Muda Selangor, Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli untuk bersama menonton perlawanan Shah Alam Antlers vs SA United.