Laporan Perlawanan SCL2017: Shah Alam Antlers 0-0 Protap FT

Shah Alam Antlers dianggap sebagai pasukan pilihan ramai untuk menjuarai Selangor Champions League, Shah Alam Antlers tetap menghadapi lawan yang sukar. Berdepan dengan Protap FT yang terdiri daripada kebanyakkannya yang berpengalaman dalam Selangor Champions League edisi-edisi lalu, Shah Alam Antlers berjaya mencuri satu mata.

Babak pertama bermula dengan Protap FT melalui Razzmir Ashraf banyak memecahkan banteng pertahanan Shah Alam Antlers namun gandingan menarik antara Nicholas Chan serta Obi Vincent berjaya mematahkan tiga empat serangan balas Protap FT.

Barisan serangan Shah Alam Antlers pula diketuai oleh Tobi Ibironke pula tidak berjaya merobek gawang Protap FT disebabkan ketangkasan dan kecekapan penjaga gol mereka. Namun begitu, Syamil juga tidak kalah dalam menunjukkan kecekapan beliau menghalang beberapa rembatan penyerang Protap FT.

Beraksi dihadapan 200 orang penyokong sendiri mungkin memberi sedikit tekanan bagi pasukan Shah Alam Antlers untuk merobek gawang gol Protap FT walaupun ada peluang yang terbuka untuk setidak-tidaknya menjamin 3 mata di dalam kantung Shah Alam Antlers.

Taktikal bertahan Protap FT yang sekali sekala melancarkan serangan balas melalui Razzmir ternyata masih menjadi sehingga tamat separuh masa pertama. Di tempat duduk penyokong pula, penyokong Shah Alam Antlers terus memberi semangat bagi pemain mereka untuk cuba menjaringkan setidak-tidaknya satu gol.

Separuh masa kedua bermula garang dengan serangan dari Shah Alam Antlers dengan beberapa serangan bertubi-tubi dari bahagian sayap dan bahagian tengah namun pertahanan Protap FT masih ampuh dengan ketangkasan penjaga gol.

Minit ke 47, stadium dikejutkan dengan kad merah dari pengadil kepada Aiman Sirajuddin, pertahanan kanan Shah Alam Antlers yang menerjah kaki dari hadapan pemain Protap FT disaksikan di hadapan penjaga garisan. Dengan baki permainan lebih kurang 23 minit, jurulatih Shah Alam Antlers, G. Muthu membuat pertukaran pemain dengan untuk menguatkan bahagian pertahanan.

Serangan Shah Alam Antlers tidak mengendur walaupun mereka kekurangan seorang pemain, beberapa peluang yang baik tidak berjaya disudahkan. Minit ke 60, Paneer pula dilayangkan kad merah kerana terjahan berbahaya menyebabkan Shah Alam Antlers seperti tempang sebelah kaki.

Protap FT kelihatan tidak bermaya pada 10 minit terakhir walaupun beraksi dengan kelebihan yang besar kerana Shah Alam Antlers hanya bermain dengan 9 orang sahaja yang mana Shah Alam Antlers tidak memperlahankan tempo permainan cuma gerakan banyak terganggu kerana kekurangan pemain di bahagian serangan.

Perlawanan berakhir tanpa jaringan dengan penguasaan bola yang lebih kepada Shah Alam Antlers ke atas Protap FT namun penguasaan bola sahaja tidak mampu untuk menterjemahkan 3 mata bagi Shah Alam Antlers berada di kelompok empat pasukan teratas.

Penulis: Sofwan Zulkepli