Laporan Perlawanan SCL2017: PIB FC 2-1 Shah Alam Antlers FC

Shah Alam Antlers turun dalam mencari kemenangan ketiga berturut-turut dengan satu lagi perlawanan yang sukar menentang PIB FC di Stadium Panasonic Seksyen 21, Shah Alam yang merupakan perlawanan terakhir SCL2017 bagi minggu ke-5.

Shah Alam Antlers memulakan perlawanan di bawah pimpinan penolong jurulatih mereka, coach Abby yang menggantikan coach Muthu yang bercuti meraikan perayaan Deepavali. Shah Alam Antlers meletakkan Chukwu Chijioke sebagai sayap kiri serta Firdaus Selvam sebagai sayap kanan dan meletakkan Muhammad Ridhwan yang baru dibawa masuk ketika jendela perpindahan sebagai penggempur utama.

PIB berani menggunakan formasi yang lebih menyerang dengan meletakkan formasi 4-3-3 dengan Mamadou Berete diletakkan sebagai penyerang utama dan diapit oleh pemain sayap kiri, Faizul Herman dan juga Khairul Anuar sebagai pemain sayap kanan.

Separuh masa pertama dimulakan dengan Shah Alam Antlers bermula garang, menyerang PIB dengan bertubi-tubi namun PIB kelihatan masih selesa menyerap asakan dari serangan tiga serangkai Shah Alam Antlers.

Chukwu Chijioke hampir memecah kebuntuan pada minit ke-22 namun sepakan lambung beliau tidak berjaya masuk ke dalam gawang. Sorakan penyokong Shah Alam Antlers telah memecah keheningan pada waktu itu. Separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.

Tiupan wisel pada separuh masa kedua dimulakan oleh pengadil, namun tidak sampai satu minit, Shah Alam Antlers berjaya menewaskan penjaga gol PIB FC melalui satu bola lambung oleh Chukwu Chijioke. Bergema chants ‘Antlers on Fire‘ oleh sorakan komuniti Shah Alam Antlers yang diiringi bunyi gendang & drum mereka.

Tempo perlawanan semakin tinggi selepas gol pertama Antlers dengan kelihatan Shah Alam Antlers semakin kerap hilang fokus dengan beberapa gerakan PIB FC yang hampir membuahkan beberapa jaringan.

Ternyata pada minit ke-63, kesilapan pertahanan pemain pertahanan Shah Alam Antlers mengundang padah, Rasmeshjit menyamakan kedudukan seterusnya semakin menekan Antlers untuk kembali di depan.

Ketika Shah Alam Antlers dilihat boleh mempertahankan sekurang-kurangnya satu mata yang mereka boleh kutip dari perlawanan ini, Mamadou Berete pula mengambil giliran untuk menjadi hero PIB FC menjaringkan gol ketika perlawanan berbaki seminit sebelum tamat perlawanan sekaligus membantu PIB FC mendaki carta liga untuk duduk di tangga ke-6.

Shah Alam Antlers walaubagaimanapun tetap kekal di tangga teratas dengan 7 mata hasil 2 kemenangan, 1 seri serta 2 kekalahan dalam saingan Selangor Champions League edisi tahun 2017 kali ini.

#BiancoAzzuroPerSempre

#AllUniteForTheCity