Laporan Perlawanan SCL2017: Axis-02 FC 1-0 Shah Alam Antlers FC

Secara keseluruhannya, selesai perlawanan semalam, kekecewaan jelas tergambar pada setiap wajah keluarga Shah Alam Antlers dengan mereka tewas buat pertama kali mereka bermain dalam perlawanan kompetitif. Rekod 16 perlawanan tanpa kalah mereka lebur di tangan Axis-02 FC dengan jaringan tunggal Adli yang hadir di separuh masa pertama.

Kegagalan Antlers memenangi bola dan memberi tekanan terhadap barisan serangan Axis-02 nyata mengecewakan. Shah Alam Antlers bermula garang  pada separuh masa yang pertama dengan serangan mereka yang diketuai oleh Chukwu Nnabuike Chijioke dan pemain sayap mereka, Yakish membuat serangan bertubi-tubi ke arah gawang Axis-02 FC.

Axis-02 bernasib baik kerana mereka mempunyai penjaga gol yang mengagumkan serta mampu mengawal dan memberi arahan kepada pertahanan dengan baik. Sekitar minit ke-10, satu peluang ‘open goal’ hasil rembatan Yakish diselamatkan lagi oleh penjaga gol Axis-02.

Axis-02 pula mengambil giliran untuk menguji gandingan pertahanan Nicholas-Vincent yang mengetuai pertahanan Shah Alam Antlers. Akhirnya pada minit ke 16, pemain Axis-02, Adli berjaya menjaringkan gol dengan menanduk setelah sedikit kelam kabut yang berlaku di dalam kotak penalti Antlers yang hasil sepakan penjuru yang perolehi oleh pasukan Axis-02.

Permainan kembali seimbang selepas gol itu, namun beberapa hantaran lintang pemain sayap Antlers tidak berjaya menemui kepala Chijioke dan mudah dipatahkan oleh pemain Axis-02.

Separuh masa kedua bermula dengan baik buat Antlers, dengan mereka cuba melancarkan lagi serangan melalui sayap dengan menggunakan hantaran lintang untuk mencari Chijioke. Seolah-olah buntu dalam mencari gol untuk merobek gawang Axis-02, kubu pertahanan Antlers pula diserang oleh pemain Axis-02 melalui Adli dan pemain serangan import mereka.

Tekanan demi tekanan menyebabkan seorang pemain Antlers bertindak kasar pada minit ke 55 dan cuba membuat provokasi dan dalam kekecohan itu, beberapa pemain dari kedua-dua pasukan dilayangkan kad kuning. Serangan pasukan Shah Alam Antlers melalui pemain kunci mereka seperti Amares serta Naim juga masih belum berjaya meruntuhkan tembok pertahanan Axis-02 yang bermain secara high-pressing.

Shah Alam Antlers terus buntu untuk mencari gol sehingga wisel penamat, Antlers rebah buat pertama kali di Antlersland selepas melalui 16 perlawanan kompetitif tanpa kalah. Walau bagaimanapun, usaha pemain Shah Alam Antlers yang bermati-matian untuk cuba mencari gol wajar dipuji.