Klang Valley Super League Kini Merupakan Liga M5!

Sejarah tercipta apabila Klang Valley Super League yang mana Shah Alam Antlers FC turut berada di dalam liga tersebut telah memeterai dengan Football Malaysia LLP (FMLLP) di Hotel Forest City, Johor Bharu, semalam.

Perjanjian yang dibuat dalam satu majlis petang semalam melibatkan 14 penganjur liga negeri itu dimeteraikan bersama Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Encik Kevin Ramalingam dan turut disaksikan oleh YAM Tunku Abu Bakar Iman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

Sumber Foto: Facebook FMLLP

Dalam satu kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata Liga M4 & M5 ini diadakan bagi menyediakan hala tuju liga negeri dan liga sosial dalam bola sepak Malaysia.

Ini membawa ke satu arah yang lebih baik dan juga boleh meningkatkan bilangan kolam bakat pemain tempatan agar boleh bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.

Penulis sempat menghubungi pengasas dan wakil Klang Valley Super League yang berada di sana, saudara Khairil Anuar melalui telefon untuk bertanyakan perkembangan dan perasaan beliau sendiri selepas selesai majlis perjanjian tersebut.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya termeterai juga perjanjian antara wakil wakil penganjur M5 dengan pihak FMLLP dan Klang Valley Super League juga kini rasmi menjadi antara gabungan liga-liga di divisyen 5 bolasepak Malaysia,” jelas Khairil.

Sumber Foto: Instagram Khairil Anuar

Beliau juga turut memberitahu KV Super League kini sedang menumpukan usaha untuk mencari lebih banyak tajaan dari mana-mana pihak agar mampu menyediakan lebih banyak perkhidmatan secara percuma termasuk khidmat jurugambar dan juruvideo untuk memberikan lebih pendedahan mengenai KV Super League kepada peminat bolasepak tempatan khasnya.

“Antara persiapan lain adalah target kita untuk kumpulkan pengadil yang terbaik di sekitar Lembah Klang untuk dijadikan pegawai perlawanan kempen KV Super League (Liga M5) tahun ini,” tambah Khairil Anuar lagi.

Khairil juga mengharapkan pengurusan kelab yang akan terlibat secara langsung dengan Liga M5 akan tunjukkan kualiti pengurusan pasukan yang baik walaupun kelab masih berada di tahap amatur.

“Baru-baru ini kita dapat lihat beberapa kelab Liga Super & Liga Perdana yang didenda disebabkan beberapa kegagalan untuk menghantar dokumen pada waktu yang ditetapkan. Isu-isu ini tidak sepatutnya berlaku pada pasukan Liga M5 jika pengurusan kelab benar-benar serius ingin melangkah lebih jauh,” tambah Khairil yang ingin melihat pengurusan kelab yang serius.

14 Liga Negeri & Liga Sosial yang dimasukkan ke dalam sistem Liga M5.

Khairil mengakhiri temubual dengan harapan agar semua pemain-pemain amatur dan liga sosial di luar agar segera merebut tempat jika ditawarkan untuk bermain dalam mana-mana pasukan yang bertanding dalam Liga M5 untuk buktikan potensi diri.

Shah Alam Antlers sentiasa berbangga dan akan mengingati tarikh 24 Mac 2018 adalah tarikh yang sangat istimewa bagi liga sosial yang terpilih untuk digabungkan ke dalam sistem bolasepak Malaysia.

#MyCityMyPride

#AllUniteForTheCity