“Kita Perlukan Dua Tahun Sebelum Pasukan Kita Benar-Benar Kuat”

Selepas menjuarai trofi Klang Valley Super League 2017 tanpa kalah, penyokong mungkin perlu lebih bersabar pada musim ini kerana pasukan mengambil pendekatan baru - mengembangkan bakat pemain-pemain muda.

Menyedari tugas beliau turut disertai dengan jangkaan tinggi daripada penyokong, ketua jurulatih Shah Alam Antlers, Ariff Hashim memohon supaya pemain-pemain beliau diberikan masa sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum boleh diberikan jangkaan untuk memenangi trofi.

“Majoriti daripada 26 pemain kita berumur bawah 23 tahun. Kapten kita juga baru berumur 21 tahun. Jadi kita sebenarnya mempunyai skuad yang sangat muda dan mereka memerlukan masa untuk mengumpul pengalaman,” kata Ariff.

Daripada senarai pemain kita pada musim ini, hanya 6 pemain yang berumur atas 23 tahun. Mereka adalah:

1. Azeem Azhar (Pertahanan/Malaysia/24 tahun)
2. Aizat Jaini (Pertahanan/Malaysia/31 tahun)
3. Okpe Solomom (Tengah/Nigeria/26 tahun)
4. Shahrin Aizat (Tengah/Malaysia/24 tahun)
5. Sufi Mat Noran (Tengah/Malaysia/24 tahun)
6. Luqman Hafiz (Penyerang/Malaysia/24 tahun)

Manakala untuk pemain import pula, kita akan menggunakan khidmat 2 pemain iaitu:

1. Okpe Solomom (Tengah/Nigeria/26 tahun)
2. Yusril Maulana (Penyerang/Indonesia/19 tahun)

Dalam arena bola sepak liga komuniti di Selangor, antara pasukan yang pernah menggunakan majoriti pemain bawah 23 tahun dalam aksi liga mereka adalah pasukan dari TTDI, Terrapins FC.

Ketika kempen Selangor Champions League 2017, Terrapins FC mendapati kekurangan pengalaman pemain-pemain muda mereka menjadi pemisah kualiti antara pasukan mereka dengan pasukan-pasukan elit Selangor Champions League yang lain.

Daripada 8 perlawanan kumpulan B di kempen Selangor Champions League, Terrapins tewas kesemua perlawanan, menjaringkan 3 gol dan bolos 21 gol. Tetapi disebalik prestasi yang buruk ini, mereka memenangi hati penonton melalui falsafah bola sepak hantaran pendek mereka yang cantik.

Sebagai perbandingan, 2 pasukan yang layak ke final Selangor Champions League 2017, Axis O2 FC dan PIB FC rata-ratanya dibarisi oleh pemain-pemain berpengalaman di semua bahagian.

Satu perkara yang pasti, langkah Shah Alam Antlers mempertaruhkan pemain-pemain muda pada musim ini akan menyebabkan kita tidak lagi diberi tag pasukan pilihan. Ariff menyedari hakikat ini tetapi optimistik, “Saya yakin dengan kebolehan pemain-pemain kita. Dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh terjadi.”

Pemain-pemain Shah Alam Antlers bergambar selepas aksi pra-musim baru-baru ini.

“Saya mohon supaya penyokong Shah Alam Antlers memberikan pemain-pemain kita sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum kita boleh mencabar sebarang kejuaraan. Dalam pada masa yang sama, teruskan sokongan anda kepada pasukan. Kami sangat-sangat memerlukan anda pada ketika ini,” kata Ariff lagi.