Kenyataan Rasmi Shah Alam Antlers Susulan Pembatalan Kemenangan Keatas Banting Naga FC Dalam SCL2018!

Foto: Asiana.my

1. Susulan tindakan tatatertib yang dikenakan keatas kami oleh Jawatankuasa Tatatertib SCL berhubung penyenaraian Mohamed Redzuan Harun di perlawanan pertama SCL kami menentang Banting Naga FC, kami ingin menyatakan kekecewaan kami dengan cara Jawatankuasa Teknikal SCL mengendalikan kes ini.

2. Mohamed Redzuan Harun telahpun didaftarkan oleh Shah Alam Antlers sebelum tarikh pendaftaran ditutup. Pendaftaran telahpun diterima dan pemain telahpun diberikan lesen dan kad pemain.

3. Sebagaimana di semua liga professional di seluruh dunia, adalah menjadi tanggungjawab pengurusan liga untuk menyemak & mengesahkan status pemain sebelum lesen/kad pemain dikeluarkan.

Lesen penjaga gol Shah Alam Antlers, Redzuan Harun dalam SCL2018 yang dikeluarkan oleh pengurusan Football Selangor.

4. Apabila lesen/kad pemain dikeluarkan oleh FS, kami berpendapat pemain ini telah didaftarkan dan sah untuk bermain sebagaimana yang diperuntukkan oleh Artikel 5 & 5A Peraturan Status & Pemindahan Pemain Bolasepak Malaysia untuk Liga Malaysia.

5. Agak malang sekali apabila Jawatankuasa Teknikal SCL menunjukkan kelemahannya dengan meletakkan tanggungjawab menyemak status pemain kepada pasukan yg bertanding dimana kami tidak mempunyai akses kepada Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak untuk menyemak status pemain di Liga Malaysia.

6. Apa yang lebih mengecewakan kami ialah sikap selektif Jawatankuasa Teknikal SCL dalam menguatkuasakan peraturan SCL.

7. Dalam kes pemain kami, tiada bantahan rasmi telah dibuat, namun Pengarah Teknikal SCL telah mengambil inisiatif sendiri untuk menyemak status pemain (yang sepatutnya dilakukan keatas semua pemain sebelum lesen/kad pemain dikeluarkan) selepas perlawanan pertama kami dan mengambil tindakan ke atas pasukan.

8. Menurut pemahaman kami, kesalahan 3.5 peraturan SCL adalah bersamaan dengan Artikel 11 Peraturan Status & Pemindahan Pemain Bolasepak Malaysia dimana pasukan menurunkan pemain yang tidak layak bermain iaitu pemain yang gagal didaftarkan atas faktor-faktor seperti sudah didaftarkan dengan pasukan lain dan faktor-faktor lain.

9. Disebabkan banyak keraguan yang timbul dari pertuduhan ini, kami telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan dgn Jawatankuasa Teknikal SCL, namun hasrat kami tidak dilayan.

10. Dalam masa yang sama Banting Naga FC turut didapati melakukan kesalahan 3.11.4 Peraturan SCL.

Aksi menyelamat yang dilakukan oleh Redzuan Harun dalam perlawanan menentang Banting Naga FC.

11. Oleh kerana kedua-dua pasukan melakukan kesalahan, kedua-dua pasukan dinafikan sebarang mata dan gol-gol tidak dikira.

12. Hukuman ini adalah suatu bentuk ketidakadilan kepada kami dimana pasukan kami ditolak 3 mata, manakala Naga FC & Puchong Fuerza FC yang melakukan kesalahan yang sama tidak ditolak sebarang mata.

13. Ini jelas menunjukkan sikap selektif, tidak konsisten dan tidak menjatuhkan hukuman yang adil kepada semua pasukan.

14. Perkara ini pasti memberi impak negatif yang besar kepada pemain-pemain kami yg rata-ratanya adalah pemain-pemain muda, sekaligus memberi gambaran negatif kepada objektif sebenar penganjuran kejohanan ini.

15. Sejak SCL 2017 dan Program Pembangunan Kelab Komuniti Football Selangor 2018, kami mempunyai hubungan kerja yang sangat baik dengan Football Selangor dan sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti Football Selangor.

16. Segala kerja cemerlang yang dilakukan oleh Football Selangor selama ini dalam menaik taraf bolasepak komuniti/sosial secara amnya dan SCL secara khususnya, telah sedikit sebanyak diburukkan oleh kelemahan Jawatankuasa Teknikal SCL yang bersikap sombong, selektif, tidak adil dan tidak professional menyebabkan beberapa pasukan termasuk kami tidak berpuas hati dengan cara kerja dan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal SCL.

Sekian, terima kasih.

PENGURUSAN SHAH ALAM ANTLERS FC