Kapten Shah Alam Antlers, Hadi Mazali Sedia Hadapi Tiga Pertandingan Sekaligus!

Petang itu, saya memandu kereta dari pejabat saya yang terletak di Petaling Jaya terus meletakkan destinasi saya ke Stadium JKR, Seksyen 17, Shah Alam yang kini merupakan pusat latihan pasukan utama Shah Alam Antlers. Saya berjanji dengan kapten Shah Alam Antlers, Hadi untuk berjumpa dengannya sebelum bermulanya sesi latihan beliau dengan pasukan.

Saya sampai sedikit kira-kira jam 4.00 petang dan terlihat Hadi dan beberapa pemain yang juga rakan sepasukannya sudahpun bersiap sedia untuk memulakan sesi latihan. Sesi latihan tidak akan bermula sehingga jam 4.30 petang, jadi saya sebagai penulis mengambil masa ini untuk menemuramah Hadi.

Mohd Luqman Hadi bin Mazali yang kini berusia 21 tahun, memulakan karier bolasepak beliau sejak kecil namun pencapaian terbaik beliau adalah terpilih mewakili Selangor B19 ketika berusia 19 tahun. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran bersama UiTM yang membolehkan beliau mewakili pasukan UiTM B21. Bagi musim 2018, beliau mencari angin baru dengan menyertai Shah Alam Antlers FC.

Ikuti temubual saya bersama kapten muda ini:

SOALAN: Hadi, tahun ini merupakan pertama kali Shah Alam Antlers menyertai Piala Emas Raja-raja, dan ini juga merupakan kali yang pertama buat Hadi sendiri. Apa perasaan Hadi lepas tahu Antlers ditempatkan bersama MCFA, Johor, Kelantan dan Melaka?

HADI: Untuk Piala Emas Raja-raja, kumpulan yang Antlers ditempatkan tiada masalah kerana melalui pengalaman saya, pasukan terhebat pun boleh dikalahkan oleh pasukan bukan pilihan. Ini adalah kali pertama kelab memasuki kejohanan berprestij jadi pengalaman baru akan diraih oleh pengurusan dan pemain. Pengurusan kelab juga mesti harus bersedia kerana ini bukan kejohanan liga sosial, ini adalah Piala Emas Raja-raja dan ini akan menjadi platform untuk kami menyinar, InshaAllah.

SOALAN: Apakah jangkaan untuk kejohanan ini? Bagaimanakah persiapan oleh Coach Ariff?

HADI: Menurut jangkaan saya, dengan semua persiapan dari segi taktikal dan mental yang diberikan oleh Coach Ariff sejak 7 bulan yang lalu, serta kita juga baru menambah beberapa pemain baru, saya yakin pasukan kami yang bukan pilihan ini boleh memberikan cabaran hebat kepada pasukan yang terkenal dan kuat.

SOALAN: Jawapan yang meyakinkan, menurut saya. Tadi anda mengatakan beberapa pemain baru juga ditambah ke dalam pasukan, jadi, sebenarnya bagaimana Hadi sebagai kapten akan mengekalkan keharmonian pasukan.

HADI: Pada pendapat saya, semua orang harus berlaku sebagai seorang profesional tak kira sebagai pemain bolasepak ataupun tidak. Pemain baru yang hadir dalam pasukan, mereka menunjukkan mereka sanggup bermain untuk Antlers dan tidak dipaksa. Jadi, pemain yang sudah lama berada dalam pasukan mesti menyokong mereka dan mengalu-alukan kehadiran mereka dan bekerja bersama sama dalam membantu kelab mencapai target yang ditetapkan. Bagi saya, semua pemain adalah keluarga Antlers, dan ini yang saya tegaskan sama ada di dalam padang ataupun diluar.

SOALAN: Jawapan yang bagi saya amat profesional, saya sendiri tidak sabar menunggu kejohanan yang akan diharungi Antlers. Apa pula mesej anda kepada semua penyokong setia Shah Alam Antlers?

HADI: Kepada semua penyokong Antlers, kami jujur sangat merindukan mereka. Sudah lama juga tidak berjumpa. Mereka bersama kami ketika pasukan berada dalam keadaan teruk dan juga ketika keadaan terbaik. InshaAllah dalam kejohanan yang tidak lama lagi berkunjung tuba, kami akan pastikan mereka berbangga dengan kami. Penyokong adalah kunci kepada kejayaan kami. Mereka adalah sebabnya kami di sini sekarang!

SOALAN: Terima kasih, Hadi. Sampai disini saja temuramah kita, mungkin di lain masa.

HADIl: Terima kasih kerana menemuramah saya. Selamat jalan.

Saya lihat Hadi begitu bersemangat menerangkan mengenai beberapa lagi perkara dan tugas beliau sebagai kapten adalah untuk terus memotivasikan pasukannya agar tidak terjerumus dalam keadaan yang akan memerangkap pasukan dalam perlawanan.

Hadi, antara orang yang paling bersemangat di dalam padang sebagai pertahanan tengah. Inilah antara permata buat Shah Alam Antlers.