Hari Terbuka Shah Alam Antlers Tarik Lebih 300 Pemain

Daripada lebih 300 pemain ini, hanya 6 yang berjaya memikat hati ketua jurulatih Shah Alam Antlers

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Menjelang kempen Selangor Champions League (SCL) 2017 yang bakal bermula pada awal September nanti, Shah Alam Antlers memulakan persiapan untuk melengkapkan senarai pemain dengan mengadakan sesi pemilihan terbuka pada Hari Terbuka kelab di Antlersland pada Sabtu lepas.

Biarpun hujan turun lebat seawal Subuh, pemain-pemain tetap hadir mencuba nasib seawal pukul 7 pagi.

Sejumlah lebih 300 pemain amatur dari seluruh Malaysia turun ke Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam (Antlersland) untuk menarik perhatian ketua jurulatih Shah Alam Antlers, Coach G. Muthu dan barisan staf kejurulatihannya.

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Pemain-pemain dibahagikan mengikut posisi sebelum dimasukkan dalam kesebelasan pasukan.

Sebagai anggota sebuah pasukan, pemain bukan sahaja perlu memastikan bakat diri mereka terserlah dan memikat hati jurulatih. Malah mereka juga perlu memastikan mereka bermain sebagai sebuah pasukan – bukannya secara individualistik.

Pelbagai ragam pemain dapat dilihat.

Ada yang turun dengan first impression yang bagus – tampil serius dan berpakaian lengkap. Terdapat juga sebahagian kecil pemain yang tampil dengan stokin pendek, tanpa shin guard, seluar panjang dan bermain secara sambil lewa.

Latar belakang pemain pula bercampur-campur. Ada pemain yang datang pernah bermain dengan skuad Piala Belia dan Piala Presiden pasukan Liga Super dan Perdana.

Ada juga pemain yang tiada pengalaman bermain di peringkat tertinggi – tetapi mempamerkan aksi yang jauh lebih bagus daripada rakan-rakan mereka yang berpengalaman di peringkat tertinggi.

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Setelah meneliti pemain selama 4 jam dari pukul 8.30 pagi, Coach Muthu menyenarai pendek 6 pemain yang beliau rasakan mempunyai kualiti untuk pasukan.

Menurut Coach Muthu, “6 pemain ini mempunyai kualiti teknikal yang memisahkan mereka dengan pemain-pemain lain. Tetapi mereka mempunyai tugas berat – mereka perlu membina tahap kecergasan seperti yang saya kehendaki.”

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Ia kedengaran seperti tugas baru untuk jurulatih kecergasan kita, Coach Hussen ‘Alang’ Alhabani.

6 pemain baru ini akan menyertai latihan pasukan seterusnya bersama anggota pasukan sedia ada pada minggu ini.