AXAKVLM5: Shah Alam Antlers Kuasai Perlawanan, Level Up Tarik Nafas Lega Dapat Curi Satu Mata!

Pendahulu carta kumpulan B AXA KVL M5, Level Up berjaya mencuri 1 mata dari perlawanan yang dikuasai sepenuhnya oleh Shah Alam Antlers. Shah Alam Antlers sudah pasti menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyempurnakan beberapa peluang terbuka dan melepaskan dua gol dari dua kesilapan.

Shah Alam Antlers memulakan perlawanan dengan garang dan berjaya mendapat gol seawal minit ke-7. Mohamed Shamel berjaya mendada dengan baik satu hantaran lintang dari sebelah kiri untuk Ahmed Sherif Shekoo menggegar jaring dengan satu rembatan yang padu.

Shekoo turut mendapat lagi dua peluang terbuka namun gagal disempurnakan apabila percubaan beliau sedikit tersasar ketika penjaga gol lawan sudahpun tertewas di separuh masa pertama dan satu lagi peluang di separuh masa kedua berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Level Up apabila beliau hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol tersebut.

Level Up yang bermain secara bertahan cuba membuat serangan di pertengahan separuh masa pertama dan hasilnya mereka berjaya memanfaatkan dua kesilapan pemain Antlers. Jaringan pertama oleh Level Up dihasilkan apabila penjaga gol Shah Alam Antlers, Muhammad Affendy gagal membuat tangkapan yang kemas ketika keluar untuk mendapatkan bola dari sepakan sudut pihak lawan.

Level Up berjaya mendahului di babak akhir separuh masa pertama dari sepakan penalti apabila Muhammad Affendy terpaksa melakukan kesalahan menjatuhkan pemain Level Up ketika situasi satu lawan satu didalam kotak penalti hasil salah faham antara pemain pertahanan Shah Alam Antlers.

Di separuh masa kedua, Shah Alam Antlers terus menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan. Ketua jurulatih, Ariff Hashim membawa masuk Salihan Jamil bagi menambah sengat dalam barisan serangan. Salihan Jamil terus memberi impak segera kepada Antlers apabila berjaya menewaskan pertahanan lawan dari sebelah kiri dan membuat 1 hantaran lintang yang baik yang menemui kepala kapten Antlers, Luqman Hadi yang berjaya menanduk masuk jaringan penyamaan.

Shah Alam Antlers terus mengasak bermati-matian bagi mencari gol kemenangan namun kurang bernasib baik apabila beberapa peluang yang dicipta gagal disudahkan oleh pemain-pemain Antlers. Pada waktu ini, beberapa pemain Level Up yang sudah kepenatan mula melengah-lengahkan perlawanan dengan siri kecederaan. Namun begitu, di hujung perlawanan, penjaga gol Level Up berjaya menyelamatkan dua percubaan Salihan Jamil dan Iylia Fitri ketika mereka berdua dalam keadaan satu lawan satu dengan penjaga gol tersebut.

Level Up menarik nafas lega apabila pengadil meniup wisel penamat sementara pemain dan penyokong setia Shah Alam Antlers yang hadir pasti merasa kecewa kerana gagal membawa pulang 3 mata dari perlawanan yang sungguh menarik ini.