AXA KVL M5: Shah Alam Antlers Layak Ke Suku Akhir Dengan Penuh Gaya!

Setelah berehat lebih dari satu minggu Shah Alam Antlers turun menentang Gombak FC malam tadi dalam aksi minggu keenam AXA KVL M5 di Stadium MPAJ.

Ketua Jurulatih Antlers, Ariff Hashim membuat beberapa pertukaran dengan merehatkan dua penjaring utama pasukan Putih Biru, Shekoo dan Salihan Jamil. Turut direhatkan adalah Kereta Kebal Shah Alam Antlers, Azeem Azhar. Ariff Hashim memberi aksi sulung kepada pemain sayap Indonesia Yusril Maulana dan pemain pertahanan Amirun Zakwan untuk berganding bersama Ketua Pasukan Luqman Hadi.

Kedua-dua pasukan menunjukkan aksi dengan intensiti yang tinggi dari wisel pertama hingga ke tamat perlawanan. Namun taktikal Ariff Hashim yang mencuba gandingan Syed Aizat, Rusydi dan Iylia Fitri di bahagian tengah Antlers berjaya menguasai permainan.

Shah Alam membuka jaringan di separuh masa pertama menerusi pemain sayap, Faris Syazwan yang menerima umpanan lintang yang baik bagi meloloskan Faris sebelum melepaskan sepakan yang gagal di selamatkan oleh penjaga gol Gombak.

Di separuh masa kedua, Ariff Hashim memberi aksi sulung kepada satu lagi pemain, Zufar Akmal selain memasukkan Solomon, Megat Rafie, Shamel, Irman dan Mirza bagi menggandakan asakan.

Penyerang Antlers, Adam Nizam berjaya meledak gol pertama beliau untuk Shah Alam Antlers dengan menanduk masuk umpanan yang baik dari sebelah kiri bagi memberi kelebihan dua gol untuk Antlers.

Selain dari Adam, Megat Rafie turut menjaringkan gol pertama dengan tap-in mudah untuk Antlers apabila menyudahkan satu lagi umpanan dari sebelah kiri oleh Iskandar bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Belum puas dangan tiga gol, Shah Alam Antlers terus mengasak dan sekali lagi berjaya mencipta peluang dari sebelah kiri apabila satu lorongan yang baik berjaya melepaskan Syamel dengan kedudukan 1 lawan 1 dengan penjaga gol Gombak. Shamel dijatuhkan dalam kotak penalti dan pegawai perlawanan tidak teragak-agak memberi sepakan penalti untuk Antlers.

Amirun Zakwan melengkapkan aksi pertama AXA KVL M5 bersama Antlers sebagai tenang mencatat nama sebagai atas kertas apabila berjaya menolak masuk bola ke jaring selepas sepakan penaltinya berjaya ditampan oleh penjaga gol Gombak FC.

Gombak FC yang ketinggalan 4-0, cuba bangkit namun Antlers tidak memberi sebarang peluang untuk Gombak sehingga wisel penamat bagi membawa pulang 3 mata ke Shah Alam dan mengesahkan tempat peringkat suku akhir AXA KVL M5.

#AllUniteForTheCity

#MyCityMyPride