AXA KVL M5: Gol Sheko & Faris Jamin Tiga Mata Penuh Buat Antlers!

Shah Alam Antlers mengutip tiga mata penuh ke atas Ampang United pada perlawanan lalu, namun untuk perlawanan keempat Shah Alam Antlers turun menentang Revo FC dalam saingan AXA Klang Valley League tanpa penyerang utama, Salihan yang demam, yang mana diganti oleh Adam.

Skuad yang dibimbing oleh Ariff Hashim ini juga mengalami dua lagi pertukaran dengan  bek kiri dan penjaga gol, Suzaimy dan Affendy, masing-masing diganti dengan Iskandar dan Zahrizat bagi perlawanan ini.

Shah Alam Antlers bermula dengan baik namun gerakan dua serangan, Adam, Sheko yang dibantu oleh Faris dan Hafizzudin kurang menjadi sepanjang separuh masa pertama dengan Revo FC masih mampu mengekang permainan bercorak tempo tinggi Antlers.

Diseparuh masa pertama, kedua-dua pasukan gagal mengusai permainan dan mencipta peluang untuk jaringan. Banyak hantaran-hantaran yang tidak menemui rakan pasukan membantutkan pergerakan kedua-dua pasukan.

Kemasukan Rushdi di penghujung babak pertama menggantikan sayap kiri, Hafizzudin yang tercedera hamstring, sedikit sebanyak merubah gerakan serangan Antlers di babak kedua yang nampaknya lebih bersemangat.

Pada minit ke-50, Antlers berjaya menjaringkan gol menerusi Sherif Ahmed yang berjaya melihat salah faham antara pertahanan dan penjaga gol Revo yang masing-masing berada di dalam keadaan panik.

Beberapa minit kemudian, gol kedua pula menjelma dengan pemain sayap kanan Shah Alam Antlers, Faris menerima hantaran cantik dari tengah, dan tanpa berfikir panjang, beliau terus merembat bola yang berjaya ditahan oleh penjaga gol. Namun, penjaga gol tak berjaya menahan dengan kemas, dan bola itu akhirnya melepasi garisan gol.

Antlers berjaya bertahan tanpa bolos sehingga tamat perlawanan, dengan mengesahkan kemenangan ketiga Antlers dari empat perlawanan saingan liga AXA KVL M5!

#AllUniteForTheCity

#MyCityMyPride