Apa Yang Saya Dapat Dengan Menjadi Penyokong Shah Alam Antlers?

Ditulis pada 7 April 2017, sehari sebelum Shah Alam Antlers dinobatkan sebagai juara Klang Valley Super League!

Gugup, itu perasaan yang terlintas di dalam hati ketika pertama kali melangkah ke stadium Panasonic, di kawasan perkilangan di Seksyen 21, Shah Alam. Sebagai seorang penyokong Selangor yang sudah lama menyokong pasukan negeri, ini adalah pertama kali saya merendahkan diri untuk menonton perlawanan KV Super League – Shah Alam antara Shah Alam Antlers menentang Ingress Tigers yang berkesudahan seri 1-1.

Sebelum ini, melihatkan diri sendiri hanya sebagai penyokong tidak pernah mengimpikan untuk menjadi pemilik pasukan dengan cara membeli keahlian. Satu cara baru untuk merealisasikan impian penyokong bola sepak Malaysia.

Usai perlawanan, saya berjalan ke kedai cenderahati rasmi Shah Alam Antlers, mengambil borang pendaftaran ahli & terus mengisi dan membayar RM100 kepada penjaga kedai tersebut. SAH! Kini saya menjadi salah seorang pemilik kelab bersama lebih 100 orang yang lain.

Betapa indahnya seminggu kemudian, lebih 100 orang ahli berdaftar Shah Alam Antlers bersama-sama berbincang untuk bagaimana untuk menjana pendapatan bagi membantu mengurangkan beban kelab di dalam aplikasi WhatApps.

Bukan mudah untuk semua orang sentiasa memberi puluhan ringgit setiap kali perlawanan, tetapi setiap pemilik kelab Shah Alam Antlers yang saya kenal sentiasa senyum untuk memberikan sedikit sumbangan walaupun hanya RM5 setiap kali perlawanan. Dengan wang kutipan mingguan itulah, dibuat sebagai dana kelab dalam untuk mengukuhkan perbendaharaan kelab.

Sesetengahnya menjadi pemilik kelab kerana sudah tiada hati lagi untuk menyokong pasukan negeri mereka kerana penat dengan permainan persatuan bolasepak negeri yang seperti tiada apapun yang dapat mengubahnya. Ada juga yang merasakan Shah Alam adalah rumah mereka, jadi merekalah harus kedepan untuk bersama-sama kelab bagi memantapkan sosio-ekonomi kelab Shah Alam Antlers.

Saban minggu juga, penyokong jugalah yang menyiapkan sedikit sebanyak poster-poster untuk dimuatnaik di dalam media sosial dan disebarkan untuk menarik minat penyokong hadir ke stadium. Malah sebagai penyokong yang prihatin, gerombolan penyokong ini yang memulakan program untuk membantu asnaf, anak yatim dan lain-lain dalam program Shah Alam Antlers bersama golongan yang memerlukan.

Setiap perlawanan, penyokong merupakan tulang belakang bagi pasukan. Hilangnya penyokong bermaknda hilanglah semangat pasukan untuk bermain dengan baik. Shah Alam Antlers melalui pemerhatian saya mempunyai berpuluh-puluh muka tetap yang menyokong tanpa mengenal penat lelah di setiap perlawanan.

“We’ve got Antlers,” serta “Bianco Azzuro Per Sempre,” bukanlah satu perkataan asing lagi bagi penyokong Shah Alam Antlers tak kira yang tua, muda, serta kanak-kanak. Berlainan dengan norma pasukan berstatuskan negeri yang lain, yang mana tidak banyak warga yang berumur atau keluarga menyertai kumpulan “chanting”, Shah Alam Antlers berjaya mengumpulkan generasi tanpa mengira umur, latar belakang, kaum atau agama untuk bersama-sama membangkitkan semangat buat pasukan.

Sebagai penyokong yang sebelum ini merupakan penyokong bolasepak sepenuh masa, berada di Shah Alam Antlers merupakan satu suasana yang berbeza. Anda berhak menyuarakan segala isu yang berkenaan yang mana tiga wakil Exco dari ahli berdaftar akan menyuarakan kepada pihak pengurusan pada setiap kali perjumpaan Exco dari ahli berdaftar. Pihak pengurusan pula akan segera mengambil langkah-langkah efektif & proaktif untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Satu lagi perkara yang saya merasa puas melihatkan suasana Shah Alam Antlers adalah bagaimana hubungan antara pemain dan penyokong boleh menyebabkan pemain tidak rela mengalah di atas padang. Sudah tentu, di Shah Alam Antlers, hampir tiada batasan antara penyokong dan pemain untuk menjadi kawan. Malah ada juga penyokong yang turut sama-sama turun padang untuk berlatih bersama pemain.

Setiap pagi Sabtu setelah bangun daripada tidur, apaperkara pertama yang saya akan berfikir? Ya, sudah tentu #SHAHALAMDAY! Shah Alam Day ini sebenarnya memberi peluang kepada mana-mana peniaga untuk menjual sebarang barang jualan serta makanan & minuman ketika hari perlawanan. Saya tidak menafikan pada musim ini, sambutannya tidaklah begitu hangat, namun saya sebagai penyokong dan juga pemilik sebahagian daripada kelab bolasepak Shah Alam Antlers ini menjamin bahawa kehadiran akan bertambah saban musim, maka ini merupakan sebuah peluang baik bagi usahawan-usahawan muda untuk menjual sebarang jenis barangan di rumah kepada Shah Alam Antlers.

Tuntasnya, saya merasa berbangga menjadi sebahagian daripada kelab ini sejak hari pertama kelab ini didirikan. Bukan untuk meninggi diri tetapi kepuasan diri ini turut bersama-sama menyahut cabaran sebagai pemilik sebahagian daripada kelab ini memberi sebuah kepuasan tak terhingga ketika kelab menggapai kejuaraan Klang Valley League -Shah Alam yang pertama setelah hanya 6 bulan penubuhannya. BIANCO AZZURO PER SEMPRE!

 

#BiancoAzzuroPerSempre

#AllUniteForTheCity