Apa Yang Penyokong SA Antlers Ini Belajar Semasa Melawat Kelab FC United Of Manchester?

Antara misi Shah Alam Antlers FC (SAAFC) ketika penubuhannya adalah ingin menyatukan seluruh warga Shah Alam melalui sukan bola sepak.

Ia adalah selaras dengan cogan kata SAAFC sendiri iaitu “All Unite For The City”.

Baru-baru ini, seorang dari wakil SAAFC iaitu Danial yang begitu mendalam cintanya terhadap bola sepak telah terbang ke Manchester di England untuk melihat bagaimana penyokong FC United of Manchester (FCUM) menguruskan kelab mereka.

Beliau yang sudah lama bersama dengan SAAFC sejak dari awal penubuhan telah terbang ke Manchester menggunakan wangnya sendiri untuk belajar apa erti sebenar sebuah kelab komuniti.

Dan ini catatan beliau sewaktu beliau ke sana.

Apa saja demi kelab tercinta

Menurut beliau, komuniti di sana menganggap stadium adalah tempat mereka berkumpul serta untuk membolehkan mereka mengenali antara satu sama lain pada setiap kali perlawanan berlangsung.

Warga emas, orang dewasa, pemuda-pemudi dan kanak-kanak akan pastikan mereka turun ke stadium bagi menyokong pasukan mereka.

Mereka juga tidak akan pernah berasa ‘kedekut’ dengan kelab mereka. Hal ini kerana, mereka akan membeli apa sahaja produk baru keluaran kelab akan dibeli untuk membantu dana kelab.

Buku program perlawanan atau matchday program yang berharga £2 akan dibeli oleh setiap penyokong FCUM.

Malah, kebanyakan penyokong FCUM akan membeli keahlian kelab dengan membayar £12 setahun untuk golongan dewasa dan £3 untuk golongan kanak-kanak.

Boleh dikatakan semua komuniti Manchester atau lebih tepat lagi di daerah Moston akan memiliki keahlian kelab FCUM. Mereka juga akan dapat satu tempat untuk bagi pihak exco kelab.

Inisiatif sendiri

Apa yang menarik mengenai komuniti penyokong FCUM adalah penyokong mereka melakukan segalanya demi kelab dengan secara suka rela dan bukannya mengharapkan bayaran.

Semangat ini boleh dilihat apabila pegawai yang menjual tiket di kaunter tiket ataupun penjual buku program perlawanan di stadium. Mereka semua adalah dari kalangan sukarelawan yang mahu membantu kelab FCUM.

Malah jika anda mahu menjadi DJ juga boleh! Anda dibenarkan untuk menjadi DJ dan membawa sekali senarai putar (playlist) lagu yang anda mahu mainkan ketika di stadium. Perkara ini akan menyumbang kepada keseronokan matchday experience.

Di sini juga anda boleh lihat para penyokong yang secara suka rela membantu kelab menjual barangan rasmi kelab (merchandise). Dan ada juga ibu bapa yang menyuruh anak-anak kecil mereka menjadi ‘budak milo’ (ball boy) ketika perlawanan berlangsung!

Bayar semampu anda

Perkara paling menarik yang boleh kita belajar dari penyokong FCUM adalah ketika penjualan pas bermusim (season pass) mereka.

Mereka mengamalkan keadah “bayar semampu anda” ataupun pay what you can afford.

Penyokong FCUM yang berminat untuk memiliki pas bermusim kelab ini mempunyai kelonggaran untuk membayar semampu mereka untuk memilik 1 pas bermusim.

Walaupun mengamalkan polisi sedemikian, kebanyakan penyokong FCUM tidak mengambil kesempatan polisi sedemikian malah mereka membayar lebih daripada jumlah yang sepatutnya!

FCUM juga menyediakan peluang penajaan berbentuk penajaan selama sehari atau matchday sponsorship. Menerusi matchday sponsorship ini, kelab membuka ruang kepada mana-mana penaja yang mahu menaja kelab selama 1 hari iaitu ketika hari perlawanan.

Pada hari perlawanan, kesemua penaja matchday sponsorship akan menggantung kain iklan mereka di stadium.

Mereka juga akan buat aktiviti amal seperti para pemain akan memberi makan kepada golongan gelandangan dan membawa mereka untuk menonton perlawanan FCUM di stadium.

“Ini kita punya!”

Ketika kehadiran Danial ke FCUM, jumlah kehadiran penonton ketika itu adalah sekitar 3 ribu orang sahaja.

Menurut penyokong FCUM di sana, jumlah 3 ribu penyokong itu adalah sedikit mengecewakan kerana sebelum ini mereka pernah mencatatkan kehadiran yang lebih tinggi berbanding jumlah 3 ribu orang tersebut.

Sewaktu kehadiran Danial, FCUM yang berada di tangga ke-11 di Conference North National League menentang salah satu pasukan yang sedang berada ditangga terbawah liga.

Danial yang kagum lalu tertanya, “macam mana FCUM boleh menarik penonton seramai ini untuk melihat pasukan mereka beraksi menentang pasukan terbawah liga?”

Jawapan adalah mentaliti yang ada pada penyokong FCUM itu sendiri.

Mereka menggangap hadirnya mereka ke stadium bukan sahaja untuk menonton perlawanan bola sepak. Tetapi untuk berseronok bersama keluarga dan teman-teman, serta bersatu untuk menyokong kelab komuniti mereka.

Selain dari itu, mereka juga menanam rasa tanggungjawab dalam diri mereka untuk menjaga kelab mereka dengan baik atau ia dipanggil sebagai selfless attitude dalam bahasa Inggeris.

Para penyokong FCUM juga mengaku untuk mewujudkan kelab berasaskan komuniti yang stabil dan kuat bukannya mudah.

Hal ini ditambah dengan kewujudan 2 kelab utama Manchester iaitu Manchester United dan Manchester City yang sudah lama wujud di bandar Manchester.

Terdapat 2 falsafah kerja yang digunakan oleh FCUM. Pertama adalah PERCAYA yang kita boleh lakukan segalanya bersama-sama.

Dan yang kedua adalah cita-cita dan komitmen untuk menjadikan kelab berasaskan komuniti ini dioperasikan secara demokrasi dan berkesan.

Ia adalah sama seperti apa yang diamalkan oleh kelab St. Pauli di Jerman yang menggangap kelab mereka itu bukan sekadar kelab bola sepak, tetapi lebih daripada itu.

Penyokong FCUM juga menggangap kuasa mulut juga penting. Hal ini kerana dengan kuasa mulut, nama FCUM semakin dikenali oleh komuniti di Manchester.

Dengan kuasa mulut juga ia berjaya menarik lebih ramai penonton ke stadium dan meningkatkan jumlah kehadiran penyokong FCUM.

Lawatan Danial ke FCUM diakhiri dengan beliau dibawa ke bilik persalinan FCUM untuk berjumpa dengan para pemain serta pihak pengurusan. Beliau juga sempat bergambar kenangan dengan mereka semua.

Kesimpulan

Kesimpulannya, seperti FC United of Manchester yang berdiri kerana penyokong mereka. Begitu juga dengan Shah Alam Antlers, kami memerlukan sokongan dari anda semua – tanpa anda siapalah kami.

Sekian saja cacatan Danial dari Manchester, diharap agar semua pembaca dapat memahami setiap mesej yang ingin sampaikan.

Oh ya, jangan lupa datang ke Stadium Panasonic (Antlersland) di Shah Alam untuk perlawanan KV Super League diantara Shah Alam Antlers menentang Dataran FC pada 7 Januari ini ya. Jumpa di sana!