Apa Itu Selangor Champions League?

Kami senaraikan segala apa yang anda perlu tahu tentang Selangor Champions League

Kredit: Selangor Champions League - SCL

Seperti yang anda tahu, ketika ini Shah Alam Antlers sedang galak mempersiapkan pasukan untuk menghadapi cabaran kejohanan bola sepak amatur berprestij, Selangor Champions League.

Tetapi tahukah anda mengenai Selangor Champions League? Mengapa ia dianggap kejohanan bola sepak amatur paling berprestij untuk pasukan bola sepak amatur di Selangor? Apa formatnya?

Dalam artikel ini, kami akan menerangkan segala yang anda perlu tahu mengenai Selangor Champions League.

Apa itu Selangor Champions League?

Selangor Champions League (SCL) merupakan kejohanan bola sepak seperti kejohanan liga juara-juara yang diadakan di setiap benua di dunia ini.

Jika UEFA Champions League melibatkan pasukan-pasukan terbaik dari liga-liga Eropah, SCL pula melibatkan pasukan-pasukan dari liga-liga sosial yang beraksi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Bagaimanakah format Selangor Champions League?

  1. Jumlah pasukan yang bertanding: 18 pasukan
  2. Akan ada 2 kumpulan dalam peringkat kumpulan Selangor Champions League 2017
  3. Setiap kumpulan mengandungi 9 pasukan
  4. 4 pasukan teratas akan layak ke pusingan kalah mati

Hasil inisiatif Raja Muda Selangor

SCL diasaskan julung-julung kalinya pada tahun 2016 oleh Raja Muda Selangor, Yang Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Kredit: Selangor Champions League – SCL

Tujuannya adalah untuk menaikkan standard bola sepak peringkat amatur di Selangor dan memperagakan bakat bola sepak di peringkat komuniti.

Edisi SCL yang sulung pada tahun lepas menyaksikan penyertaan 16 pasukan yang terdiri daripada juara dan naib juara dari 8 liga amatur di Selangor.

8 liga amatur tersebut adalah:

  • District League
  • Munro Setia Alam League
  • Gardens Social League
  • Prestige Cup
  • SociaLiga
  • Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA)
  • FS League
  • Klang Valley League – Zon Damansara
  • KV Cup

Edisi pertama tersebut berjaya mendapat sambutan bukan sahaja dari pasukan bertanding, malah oleh komuniti peminat bola sepak di Selangor. Lebih 1,000 orang penonton membanjiri Stadium MPSJ untuk menyaksikan aksi perlawanan akhir SCL.

Prestij, standard tinggi dan liputan media yang meluas antara penyumbang kejayaan Selangor Champions League pada musim lepas. Antara media yang membuat liputan pada SCL tahun lepas adalah TV3, Selangorkini, The Star dan Semuanya BOLA.

Siapa yang menjadi juara SCL pada tahun lepas?

Dalam perlawanan akhir SCL tahun lepas, naib juara Klang Valley Super League 2016/2017; Terrapins FC menentang Rebel FC yang dipimpin oleh Tengku Bakar (kerabat diraja Pahang).

Perlawanan berkesudahan dengan Terrapins menang 2-1. Anda boleh menyaksikan highlights perlawanan tersebut di bawah:

Apa penambahbaikan yang bakal berlaku pada SCL tahun ini?

Berbeza dengan edisi tahun lepas, SCL pada tahun ini (SCL2017) akan memperagakan aksi pemain-pemain dari 18 pasukan daripada 16 liga sosial sekitar Lembah Klang.

Salah satu daripada 16 liga sosial tersebut adalah Klang Valley Super League, di mana sebagai juara – Shah Alam Antlers layak secara automatik ke SCL2017.

Bagaimana dengan penglibatan media? Adakah ada minat daripada pihak media dalam SCL2017?

Dalam edisi SCL2017 kali ini, Semuanya BOLA telah dilantik oleh pihak penganjur (SAYS dan Football Selangor) sebagai rakan media rasmi kejohanan. Semuanya BOLA turut akan membantu pasukan media SCL2017 untuk menwar-warkan lagi berita mengenai SCL2017.

Selain itu, Astro Awani juga telah bersetuju untuk memberi slot khas kepada pengajur SCL2017 untuk menyiarkan dokumentari khas mengenai perjalanan SCL2017.

Bila tempoh berlangsungnya SCL2017?

Kejohanan akan berlangsung selama 10 minggu. Bermula dari 11/09/2017 hinggalah 2/12/2017.

Perlawanan akan berlangsung pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis dari pukul 8.00 malam sehinggalah 11.00 malam.

Di mana akan berlangsungnya SCL2017?

Semua perlawanan SCL2017 akan berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Seksyen 21.

Apakah syarat-syarat penyertaan SCL2017?

1. Setiap pasukan boleh mendaftar maksimum 25 pemain. Daripada 25 pemain, 10 daripadanya mestilah merupakan pemain asal dari skuad yang layak ke SCL2017.

2. Setiap pasukan mesti mendaftarkan minimum 3 pemain berumur bawah-21.

3. Setiap pasukan hanya boleh mendaftar maksimum 3 pemain asing.

4. Setiap pasukan tidak boleh mendaftar pemain yang mempunyai kontrak aktif dengan mana-mana pasukan Liga Super dan 100Plus Liga Premier Malaysia.

5. Setiap pemain hanya boleh mendaftar dalam 1 pasukan sahaja sepanjang kejohanan.

6. Setiap pasukan mesti meletakkan nama kawasan/lokasi dalam nama pasukan mereka. Contohnya ‘Terrapins’ kepada ‘TTDI Terrapins’.

Siapa lagi pasukan yang sudah layak ke SCL2017?

  • KVL Shah Alam – Shah Alam Antlers
  • KVL Shah Alam – Terrapins
  • District League – Rebel FC
  • District League – BU Eagles FC
  • Prestige Cup – Naga FC
  • Prestige Cup – (Pemenang play-off SCL2017)
  • Setia Alam Munro League – Southern FC
  • Setia Alam Munro League – HTC FC
  • KVL Damansara – Protap FT
  • KVL Gombak – Projek Empayar FC
  • KVL Cyberjaya – Ultimate FC
  • Selangor Social Premier League – TPD FC atau juara edisi ke-3 liga
  • Kota Damansara Premier League – Klasiko FC
  • Gauchos League – Juara liga atau pemenang play-off SCL2017
  • Liga Komuniti Puchong – Puchong Fuerza FC
  • (akan ditentukan melalui SCL Playoffs)
  • (akan ditentukan melalui SCL Playoffs)
  • (akan ditentukan melalui SCL Playoffs)

Juara SCL2017 dapat apa?

Pada edisi lepas, juara SCL mendapat hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi. Untuk SCL2017, pihak penganjur masih belum mengumumkannya lagi.

Adakah juara SCL2017 dapat slot ke LBR?

Tidak. SCL2017 dan LBR adalah dua kejohanan bola sepak yang diuruskan oleh 2 entiti yang berbeza.

Rumusan

Prestij kejohanan ini – walaupun baru berumur 2 tahun – berjaya menarik perhatian ramai peninjau bakat, jurulatih, media dan bekas-bekas pemain profesional untuk datang menyaksikan kejohanan ini.

Sekarang anda tahu mengapa penting bagi kita, Shah Alam Antlers untuk beraksi cemerlang dalam SCL2017.