5 Tips Untuk Menarik Perhatian Jurulatih Ketika Sesi Pemilihan Terbuka

Bagaimana untuk menyerlah di sebalik ratusan pemain yang mahukan slot sama dengan anda

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Bukan mudah untuk menarik perhatian jurulatih ketika sesi pemilihan terbuka.

Anda dikelilingi oleh ratusan pemain yang mahukan tempat dalam pasukan seperti anda. Ada di antara mereka mungkin pernah mewakili negeri. Mungkin daerah. Mungkin ada juga yang pernah bermain dalam Piala FAM.

Ketika inilah anda akan berisiko untuk ‘tewas’ sebelum masuk padang pun. Anda akan mula meragui kebolehan diri anda sendiri. Anda akan menyalahkan orang lain atas kesalahan diri sendiri. Anda akan lupa tujuan asal anda bermain bola sepak iaitu – have fun.

Jadi bagaimana untuk elakkan semua negativiti ini semasa sesi pemilihan terbuka? Berikut adalah 5 tips yang perlu anda amalkan semasa hari pemilihan tersebut:

1. Kenalpasti kelebihan anda sebagai pemain dan ekspresikannya

Sebagai pemain bola sepak, anda perlu tahu apakah kelebihan anda dan bagaimana kelebihan ini mampu membantu pasukan.

Jika anda dilahir dan telah dilatih hingga menjadi seorang pertahanan tengah yang selesa memegang bola seperti Rio Ferdinand, elakkan daripada menjadi pertahanan no-nonsense seperti Nemanja Vidic ketika hari pemilihan.

nemanja vidic tackle
Sumber: Four Four Two

Sebaliknya yakin dengan kebolehan diri anda sendiri. Tunjukkan kepada jurulatih mengapa kebolehan anda memegang bola sebagai pertahanan tengah mampu membantu pasukan.

2. Tunjukkan anda pemain yang boleh bermain dalam satu pasukan

Kebanyakan pemain yang menghadiri sesi pemilihan berfikiran – semakin banyak kali saya memegang bola, semakin tinggi peluang saya untuk menunjukkan kebolehan saya.

Pemain sebegini ‘takut’ apabila tak mendapat bola. Akibatnya mereka menjadi pemain yang individualistik – sedangkan bola sepak adalah sukan berasaskan teamwork. Kemudian mereka kerap melakukan kesilapan.

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Sebelum anda meminta bola, analisis dahulu ruang yang anda duduki. Barangkali anda meminta bola di kawasan yang sudah dikawal pemain lawan. Jika ya, anda perlu bergerak mencari ruang. Di sinilah kebolehan off the ball movement anda akan terserlah.

Bak kata Johan Cruyff:

“Bila anda bermain, statistik menunjukkan secara puratanya pemain hanya memegang bola selama 3 minit. Jadi perkara paling pentingnya adalah: apa yang anda buat sepanjang 87 minit anda tidak mempunyai bola. Itu yang membezakan pemain bagus dengan tidak bagus.”

3. Beri sesuatu yang istimewa kepada pasukan

Sesuatu yang ‘istimewa’ dalam konteks ini bukanlah bermaksud skil-skil seperti 360 roulette, rabona cross, elastico dan sebagainya. Bukan.

Jika anda boleh melakukannya, bagus! Tetapi jika anda fikir ia akan membuatkan jurulatih akan terus memilih anda, anda silap besar.

Sesuatu yang ‘istimewa’ ini bermaksud anda perlu memberikan sesuatu yang pasukan anda tiada. Jika barisan pertahanan anda tiada pemimpin (tiada komunikasi antara 4 pertahanan), be that leader!

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Jika anda merupakan pemain tengah dan menyedari ada ruang yang banyak antara jentera pertahanan dan tengah, tutup ruang tersebut!

4. Tunjukkan rasa tanggungjawab terhadap pasukan

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Banyak pemain yang datang ke hari pemilihan berfikir – kalau saya tak buat apa-apa kesilapan individu, saya pasti akan dipilih. Sekali lagi, anda silap.

Bola sepak adalah sukan teamwork. Jika anda tiada rasa tanggungjawab untuk membantu rakan sepasukan anda ketika sesi pemilihan, sukar untuk anda menarik perhatian jurulatih.

Jika anda berfikiran – “Eh saya main midfielder. Gol bolos tadi silap defender. Saya main okay sahaja. Tiada satu misplaced pass pun.” – anda sukar untuk menarik perhatian jurulatih.

5. Jika buat silap, tunjukkan reaksi yang bagus

Adat menjadi manusia. Kita melakukan kesilapan. Dan ianya normal walaupun dalam saat genting seperti hari pemilihan.

Jika anda melakukan kesilapan ketika hari pemilihan, tunjukkan kepada jurulatih bahawa anda boleh bangkit selepas itu.

Kredit: Kamarul Akhir / asiana.my

Jika anda gagal mengawal pemain sayap hingga menyebabkan pasukan lawan menjaringkan gol, pastikan pemain sayap tersebut tak lepas dari kawalan anda untuk kali kedua.

Jika anda merupakan pemain sayap dan gagal menewaskan fullback dalam situasi 1v1, pastikan anda menewaskannya 1v1 apabila mendapat peluang kali kedua.

Rumusan

Kami harap 5 tips ini mampu membantu anda semua untuk menarik perhatian ketua jurulatih Shah Alam Antlers, Coach G. Muthu menjelang sesi pemilihan terbuka Shah Alam Antlers pada 15 Julai 2017 di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Seksyen 23.

Jumpa anda di sana! Selamat mencuba dan selamat berjaya!