Antlers Sahkan Kedudukan Ke-2 Kumpulan B AXAKVL M5, Menang 2-0 Keatas FC Serayan!

Shah Alam Antlers turun menentang FC Serayan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B AXA KVL M5 di Stadium MPAJ malam tadi.

Tiket ke perlawanan suku akhir sudah ditempah dengan kemenangan ke atas Gombak FC minggu lalu, Ketua Jurulatih Ariff Hashim membuat beberapa pertukaran kesebelasan utama. Ariff memberi penampilan sulung kepada 3 pemain muda Mohammad Zufar, 18 di posisi Tengah, Amirul Haziq, 20 di posisi Penjaga Gol dan Farid Ashraf, 21 di posisi pertahanan.

Dua penyerang utama Antlers, Sherif Shekoo dan Salihan Jamil telah kembali mengetuai bahagian serangan setelah terlepas dalam perlewanan sebelumnya.

Dari minit pertama Antlers menguasai permainan dengan permainan hantaran-hantaran pendek disetiap posisi. Hasil dari kekalutan sepakan sudut, Shekoo berjaya merembat cantik ke penjuru atas kanan gol yang sama sekali gagal diselamatkan oleh penjaga gol Serayan pada minit ke-18.

Shekoo sekali lagi menunjukkan kehebatan sentuhan penyudahnya apabila berjaya menyungkit bola melepasi penjaga gol Serayan untuk menjadikan kedudukan 2-0 setelah 10 minit bermulanya babak kedua.

FC Serayan turut mempamerkan serangan serangan yang baik dengan beberapa percubaan mereka menggegarkan tiang pasukan Shah Alam Antlers namun tidak bernasib baik dengan tidak berjaya menjaringkan sebarang gol.

Shah Alam Antlers selesa menamatkan perlawanan dengan kelebihan dua gol seterusnya naik sebagai pendahulu Kumpulan B untuk satu hari sebelum perlawanan antara CNA dan Level Up yang akan berlangsung pada malam ini.

Apa pun keputusan perlawanan antara CNA dan Level Up, Shah Alam Antlers akan berada di tangga kedua Kumpulan B dan akan menentang pasukan tangga ketiga Kumpulan A, PIB diperingkat Suku Akhir.